Utama

Lagi kes langgar PKP, 23 remaja ditahan berparti

ANTARA remaja yang ditahan berparti liar dan ingkar pelaksanaan PKP baru-baru ini.
- Diterbit 20 April 2020 5:10 AM MYT

KUALA LUMPUR – Di saat kerajaan berusaha menangani penularan wabak Covid-19 dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekumpulan remaja berhimpun dan mengadakan parti liar di sebuah kondominium yang terletak di Jalan Gombak, Setapak di sini baru-baru ini.

Susulan pelanggaran perintah tersebut 23 remaja yang terdiri daripada 13 lelaki dan 10 perempuan berumur dalam lingkungan 14 hingga 23 tahun ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dalam serbuan pada pukul 1.40 pagi, 17 April lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata, turut dirampas lima paket disyaki dadah jenis Ketamine dengan anggaran berat 4 gram dan lapan biji pil Eramin 5 ( 2.42 gram).

Jelas beliau, siasatan awal mendapati peserta parti persendirian yang hadir adalah terdiri dari rakan rapat yang dijemput melalui aplikasi Whatsapp.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tujuh lelaki dan empat wanita positif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta yang sama.

“Kesemua suspek juga didapati mengingkari PKP Covid-19 dengan berhimpun bagi tujuan sosial dan turut disiasat di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rajab Ahad, kesemua suspek ditahan dilokap berpusat Jinjang dan direman selama satu hari untuk melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas