JAWI batalkan UPSRA 2020

JAWI batalkan UPSRA 2020

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil keputusan membatalkan pelaksanaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) tahun ini yang sepatutnya diadakan pada 28 September hingga 1 Oktober depan.

JAWI dalam kenyataannya berkata, perkara itu selaras dengan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang membatalkan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek bertulis yang dijadual pada 28 September hingga 1 Oktober 2020 di seluruh negara.

“Sehubungan itu, semua peperiksaan kendalian JAWI iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) bagi sesi persekolahan tahun 2020 yang dijadual pada 28 September sehingga 1 Oktober ini turut akan dibatalkan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Mohd Radzi Md. Jidin mengumumkan pembatalan UPSR dan PT3 2020 pada 15 April lalu.

Kata kenyataan itu, pembatalan UPSRA tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid-murid kepada ilmu-ilmu diniyah yang diikuti bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6.

“Kemenjadian murid-murid di dalam pendidikan ilmu-ilmu diniyah mampu dinilai melalui pelbagai kaedah.

“Justeru bagi tujuan ini, JAWI akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis tersebut,” katanya.

Sementara itu, semua sesi persekolahan Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Integrasi Rendah Islam JAWI (SIRAJ) dan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) juga akan mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan (KPM) dan JAKIM bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid serta guru-guru terjamin.

Dalam pada itu, JAWI merakamkan penghargaan kepada semua guru-guru yang telah mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran tetap dilaksanakan.

“Ia membabitkan lebih kurang 63,000 pelajar di SRA, SIRAJ dan KAFA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. –WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS