Berita

Farid Ismeth meninggal dunia, rakan karib kongsi kebaikan arwah

FARIT ISMETH dilaporkan meninggal dunia.
- Diterbit 20 April 2020 5:49 AM MYT

PUTRAJAYA – Dunia penyiaran dikejutkan dengan permergian bekas penyampai berita Dunia Jam 10, Farid Ismeth Emir, 66, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Assunta, Petaling Jaya pagi tadi kerana penyakit kanser.

Ternyata pemergian pembaca berita lagenda ini amat mengejutkan dan turut ditangisi oleh rakan seperjuangannya, Datuk Harjit Singh Hullon, 66.

HARJIT

Menurutnya, beliau mengenali Allahyarham hampir 30 tahun lalu sejak kedua-duanya mula bergelar penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Saya bukan sahaja mengenalinya di bilik berita bahkan kami turut menjadi teman setia di luar pejabat. Banyak kisah suka duka yang kami kongsi bersama,” ujarnya kepada Wilayahku.

“Dia seorang yang mudah mesra biarpun terlihat garang. Tingkah lakunya disenangi semua orang dan dia tidak lokek berkongsi ilmu penyiaran dengan penyampai baharu,” ujar beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Tambahnya lagi, kehilangan rakan karibnya itu amat dirasai lebih-lebih lagi dia tidak dapat memberi penghormatan terakhir kerana situasi negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Memang masih sukar diterima. Beberapa bulan lalu, dia ada berkongsi kisahnya menghidap kanser dan kini ternyata Tuhan lebih menyayanginya,” ujarnya sedih.

Berkongsi kelebihan penyampai yang mesra dengan panggilan Pak Ngah dalam kalangan rakan penyiaran, Harjit berkata kehilangan Farid tiada galang gantinya.

“Cara penyampaian beritanya lain daripada lain terutamanya cara dia menyampaikan kata hikmah di akhir berita. Saya sendiri tidak mampu meniru gayanya,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, menurut anak didiknya Rozimah Mahyiddin, 55, Allahyarham tidak ubah seperti seorang bapa yang sering memberi nasihat kepadanya.

“Dia selalu nasihatkan kami sebagai pembaca berita, bukan glamor yang dikejar tetapi perlu ada disiplin, rajin buat kajian dan sering bertanya.

“Katanya lagi, kita perlu ada semangat berpasukan kerana tanpa hal tersebut, kita sebagai penyampai tidak mungkin dapat menyampaikan berita dengan sebaiknya,” ujarnya.

Sebagai rekod, Farid Ismeth merupakan penyampai berita veteran di stesen penyiaran awam tersebut. Beliau pernah menyumbangkan suara dalam iklan rokok Dunhill dengan tagline popular ‘Gaya, mutu, keunggulan’

Beliau meninggalkan tujuh orang cahaya mata dan salah seorangnya pemuzik dan komposer, Dj Fuzz. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas