Berita

100 keluarga India seronok terima kunjungan Shahidan sempena Deepavali

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.||KANAK-KANAK diberi peluang membeli pakaian perayaan sempena Deepavali|TIMBALAN Pengerusi MIC bahagian Segambut merangkap Ketua Cawangan Rumah Panjang Bukit Kiara
- Diterbit 3 November 2021 3:08 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyantuni 100 buah keluarga berbangsa India yang telah 38 tahun bermastautin di Rumah Panjang PA Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam.

Kunjungan Shahidan ke perumahan awam itu adalah bersempena sambutan Deepavali yang bakal disambut esok.

MASYARAKAT India di Perumahan Awam Bukit Kiara gembira dengan kehadiran Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Para penduduk menerima pelbagai bentuk bantuan dari Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Rumah Prihatin @ Grand Seasons (Rumah Prihatin), sempena hari raya Deepavali pada tahun ini.

Sumbangan berbentuk wang tunai serta bantuan kotak makanan telah disampaikan kepada ketua keluarga oleh Menteri Wilayah yang juga merupakan Pengerusi YWP.

Kesemua bantuan sempena Hari Raya Deepavali ini diyakini dapat meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan akibat hilang punca pendapatan kesan pandemik COVID-19 selama ini.

Bukan itu sahaja, seramai 50 orang kanak-kanak India berumur bawah 12 tahun serta mereka yang memohon bantuan di Rumah Prihatin, dibawa menaiki bas ke Kedai Pakaian Hari-Hari untuk membeli pakaian sempena sambutan Deepavali.

KANAK-KANAK diberi peluang membeli pakaian perayaan sempena Deepavali

Rata-rata penduduk gembira dengan kehadiran Menteri Wilayah dan menyifatkannya sebagai hadiah berharga sempena Deepavali tahun ini.

TIMBALAN Pengerusi MIC bahagian Segambut merangkap Ketua Cawangan Rumah Panjang Bukit Kiara, Arumugam Thangaveloo

Menurut Timbalan Pengerusi MIC bahagian Segambut merangkap Ketua Cawangan Rumah Panjang Bukit Kiara, Arumugam Thangaveloo, 65, sumbangan yang disampaikan Menteri Wilayah mampu meringankan beban penduduk dalam melakukan persiapan menyambut Deepavali.

“Hari ini adalah hari mulia. Setiap tahun, dengan kerjasama YWP, semua penduduk di sini akan mendapat sumbangan sempena Deepavali.

“Penduduk di sini sangat gembira dan berterima kasih kepada Menteri Wilayah dan Datuk Zaizalnizam (Ketua Pegawai Eksekutif YWP) dan mereka sangat menyayangi penduduk di sini.

“Sumbangan ini amat perlu kepada kami kerana semua penduduk perlukan duit setelah terkesan dengan COVID-19. Tambah pula, ramai yang tiada pekerjaan.

“Sebelum ini, dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) juga kami menerima pelbagai bentuk bantuan daripada YWP,” katanya.

PENGERUSI Rukun Tetangga Perumahan Awam Bukit Kiara, Konasagaren Subramaniam(Kanan) bersama Menteri Wilayah Persekutuan.

Manakala Pengerusi Rukun Tetangga Perumahan Awam Bukit Kiara,  Konasagaren Subramaniam, 53, terharu dengan kehadiran Menteri Wilayah.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah kerana sudi turun padang berkunjung ke tempat kami yang serba kekurangan ini.

“Dalam masa yang sama, kami juga sebenarnya terkejut dengan kehadiran beliau yang sanggup curi masa untuk ke sini walaupun sibuk dengan pelbagai urusan. Walaupun sekejap ia sangat bermakna.

“Sumbangan yang beliau sampaikan juga sedikit sebanyak boleh mengurangkan beban penduduk di sini yang terjejas akibat COVID-19.

“Bukan itu sahaja, tak sangka sebenarnya apabila kanak-kanak turut diberi peluang untuk memilih baju raya kegemaran mereka,” ujarnya.

Danalectumi Luchmanan bersama cucunya.

Bagi suri rumah, Danalectumi Luchmanan, 63, sumbangan yang diberikan akan menceriakan lagi suasana sambutan Deepavali bersama keluarga.

“Memang seronok apabila dapat sumbangan sempena Deepavali. Ramai yang tak bekerja, jadi sumbangan ini mengurangkan beban kami dalam menyambut perayaan ini.

“Terima kasih kepada Menteri Wilayah kerana sudi datang melawat kami. Semoga sumbangan yang diberikan dapat menceriakan lagi suasana Deepavali,” jelasnya.

YWP dan Rumah Prihatin turut merancang untuk meningkatkan sumbangan bantuan Hari Raya Deepavali ini kepada 500 orang penerima dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.

Turut hadir memeriahkan acara pemberian bantuan sempena Deepavali ini ialah, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun dan Pengarah Eksekutif Rumah Prihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.

Acara ini turut mendapat kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pulse Grande Hotel Putrajaya dan Pusat Pakaian Hari-Hari. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas