Berita

Labuan sedia sambut lawatan duta asing 30 negara

DR. FARY AKMAL OSMAN
- Diterbit 4 Mac 2020 9:25 AM MYT

LABUAN – Kunjungan mesra perwakilan luar negara ke Labuan pada 13 hingga 15 Mac ini bakal membuka banyak peluang pelaburan di pulau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman berkata, selain memperkenalkan Labuan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, kunjungan itu juga mengukuhkan persefahaman antara Malaysia khususnya Labuan dengan duta asing dari 30 buah negara.

“Labuan merupakan negeri pertama dipilih Kementerian Luar bagi program ini. Rombongan ini merupakan yang terbesar yang pernah Perbadanan Labuan dan pulau ini terima melibatkan duta asing,” katanya dalam sidang akhbar mengenai lawatan tersebut di Wisma Perbadanan Labuan hari ini.

MENARA di Muzium Chimney, Tanjung Kubong, Labuan yang dibina pada zaman British menjadi antara tarikan pelancong.

Fary memberitahu, dalam usaha menuju transformasi Labuan dari segi ekonomi dan ‘smart island‘, pihaknya akan lebih menjurus kepada pelaburan, perniagaan dan pelancongan bagi membangunkan ekonomi pulau ini.

“Kita dengan kerjasama beberapa jabatan telah merangka program menarik dan bersesuaian bagi lawatan ini. Misalnya, pada hari pertama lawatan, kita akan adakan taklimat mengenai peluang pelaburan dan pelancongan di Labuan.

“Malah kita akan membawa mereka melawat tapak industri dan tapak pelancongan di sekitar Labuan serta memperkenalkan budaya tempatan kepada duta-duta terbabit,” katanya.

Beliau berharap masyarakat setempat bersedia menerima kedatangan duta-duta tersebut sepanjang lawatan tiga hari itu.

“Saya berharap melalui lawatan ini, Labuan dapat dikenali di seluruh masyarakat dunia selain mengharapkan limpahan dari pelabur baharu untuk menyuntik pelaburan dalam sektor yang dirasakan strategik dalam masa terdekat,” katanya. –WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas