Berita

Wisma FELCRA ditutup hingga Jumaat akibat Covid-19

- Diterbit 4 Mac 2020 8:49 AM MYT

KUALA LUMPUR – Wisma FELCRA Bhd. di Jalan Rejang, Setapak di sini dihentikan tugas dan operasinya serta-merta bermula hari ini hingga Jumaat berikutan jangkitan Covid-19.

FELCRA dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan itu susulan seorang ahli pengarah syarikatnya telah disahkan positif Covid-19.

Kata kenyataan itu, kali terakhir ahli lembaga pengarah itu berada di bangunan Wisma FELCRA adalah pada 25 Februari lalu.

“Justeru sebagai langkah pencegahan, semua aktiviti dan operasi di Ibu Pejabat (Wisma FELCRA) dihentikan serta-merta bermula hari ini hingga Jumaat.

“Ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dibuat secara menyeluruh,” kata kenyataan itu.

Namun, setakat ini keadaan terkawal dan tiada simptom ditemui dalam kalangan pekerjanya.

FELCRA turut mengarahkan semua pekerjanya di wisma tersebut untuk bekerja dari rumah serta dinasihatkan tidak keluar daerah supaya dapat dihubungi.

“Bagaimanapun, dalam situasi ini, semua operasi di peringkat wilayah dan kawasan diteruskan seperti biasa dengan komunikasi dijalankan supaya operasi ladang dan kilang tidak terjejas.

“Pihak FELCRA juga telah mengenal pasti pekerja-pekerja yang mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 itu dan kesemuanya sedang menjalani ujian saringan kesihatan di hospital berdekatan,” ujar kenyataan itu.

Jelas FELCRA, pihaknya sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan dan mengambil langkah-langkah berwaspada seperti dinasihatkan dalam kadar segera.

“Selaras dengan perkembangan terkini penularan Covid-19, warga FELCRA diminta mengehadkan perjalanan ke luar negara terutamanya negara yang telah terjejas,” katanya.

Terdahulu penutupan Wisma FELCRA itu menjadi viral susulan penyebaran dua rakaman video melalui aplikasi WhatsApp. – WILAYAHKU

https://www.facebook.com/303113870392029/posts/509609753075772/

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas