Berita

Covid-19 alami gelombang kedua, 14 kes baharu hingga 4 Mac

NOOR HISHAM menunjukkan carta gelombang kes jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya hari ini.
- Diterbit 4 Mac 2020 10:30 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 14 kes baharu kes Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini dalam gelombang kedua jangkitan virus tersebut sejak 27 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dengan kes terbaharu itu menjadikan jumlah kes Covid-19 sebanyak 50 kes.

“Gelombang pertama jangkitan Covid-19 di Malaysia merangkumi 22 kes positif (kes pertama hingga ke-22) telah sihat dan discaj.

“Setelah 11 hari tiada kes baharu, gelombang kedua bermula pada 27 Februari lalu. Bagi gelombang kedua sehingga 4 Mac, terdapat 28 kes positif yang telah dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, bagi gelombang kedua, terdapat satu kluster Covid-19 yang telah dikenal pasti melibatkan kes positif ke-26.

“Berdasarkan siasatan dan pengesanan kontak yang telah dijalankan sehingga kini, terdapat 215 kontak rapat yang dikesan.  Daripada jumlah kontak rapat tersebut, 16 kes dikesan positif Covid-19, 19 adalah negatif dan 180 menunggu keputusan,” katanya.

Tambah beliau, daripada lima kes merupakan kontak rapat kepada beberapa kes positif dalam kalangan 16 kes tersebut (kontak rapat kes ke-26).

“Ini menjadikan jumlah kes positif bagi kluster ini adalah sebanyak 21 kes (kes ke-30 hingga 50),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas