Berita

Labuan ‘role model’ pembukaan sekolah

RADZI melakukan lawatan kerja selama dua hari di Labuan bagi mengadakan perbincangan libat urus bersama warga pendidik pada Ahad lalu.
- Diterbit 11 September 2021 6:00 AM MYT

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan kajian dan penelitian pembukaan sesi persekolahan berdasarkan peringkat fasa Pelan Pemulihan
Negara (PPN), yang mana Labuan bakal menjadi negeri pertama melaksanakan pembukaan itu.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata, langkah itu dipertimbangkan berdasarkan peralihan pulau bebas cukai itu telah berada di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kita lihat Labuan adalah satu-satunya negeri yang berada di fasa 4 yang mana hampir keseluruha sektor dibuka. Kita sedang melihat cara yang terbaik bagaimana sektor pendidikan boleh dibuka dalam keadaan selamat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama Guru Besar dan Pengetua di
dewan konvensyen hotel terkemuka di sini, hari ini.

Menurutnya, sebelum pembukaan sekolah dilaksanakan, pihak kementeriannya akan mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan pembukaan tersebut selamat.

“Kita akan mengambil kira kesemua cadangan dan pandangan yang diberikan dalam menyusun dan merangka semula pembukaan sekolah nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi turut memaklumkan KPM telah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan dan Perbadanan Labuan yang diwakili pengerusi dan ketua pegawai eksekutif untuk membincangkan cadangan tersebut.

“Untuk memastikan kaedah yang dicadangkan dapat dilaksanakan dengan baik dan mendapat dukungan semua pihak bagi memastikan anak-anak kita kembali ke sekolah dengan selamat,” katanya lagi.

Terdahulu, Radzi mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Labuan bermula Ahad bagi mengadakan perbincangan libat urus bersama warga pendidik di sini. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas