Berita

Masjid Putra ikut garis panduan MKN, tidak timbul soal layanan berbeza

PIHAK pentadbiran masjid berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kedudukan.
- Diterbit 11 September 2021 4:48 AM MYT

PENGURUSAN Masjid Putra masih mengikut garis panduan dan ketetapan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai kehadiran jemaah untuk menunaikan solat fardu dan solat Jumaat di masjid itu.

Dalam satu kenyataannya, jumlah kapasiti yang dibenarkan untuk solat Jumaat adalah 300 orang sahaja.

“Daripada jumlah itu, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota buat jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dengan turut memaklumkan jangkaan waktu ketibaan mereka.

“Ini adalah bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota ditetapkan,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

Jelas kenyataan itu, pihaknya tidak menafikan bahawa Masjid Putra sememangnya menerima kehadiran jemaah melebihi kapasiti ditetapkan sejak jam 11 pagi lagi bagi menunaikan solat Jumaat saban minggu.

“Apabila kapasiti jemaah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama masjid dan menyebabkan ada jemaah yang hadir tidak dapat memasuki masjid.

“Pihak masjid juga telah memaklumkan dan menasihati para jemaah secara baik mengenai perkara itu,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, pihak pentadbiran masjid akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan terbaik selepas ini kepada jemaah mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kedudukan.

“Pihak pengurusan masjid bersedia untuk mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan setiap pihak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan.

“Pihak Masjid Putra memohon kemaafan dan kekhilafan yang berlaku dalam hal ini,” kata kenyataan itu.

Terdahulu tular di laman sosial satu video yang memaparkan sekumpulan jemaah dihalang untuk memasuki Masjid Putra berikutan kapasiti yang dibenarkan telah mencukupi namun ia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan jemaah dan orang ramai. – WILAYAHKU –

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas