Berita

Jangkitan Covid-19 cecah 19 orang, kes baharu babitkan wanita China

Pesakit ke-24 Covid-19 ditempatkan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur.
- Diterbit 13 Februari 2020 12:03 PM MYT

PUTRAJAYA – Jangkitan Coronavirus Disease 2019 (Covid-19) mencatatkan satu kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dilaporkan setakat ini adalah sebanyak 19 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes ke-19 itu melibatkan seorang wanita warga China berumur 39 tahun yang merupakan rakan kepada kes-14 dan anak kepada kes-16 yang kedua-duanya sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Beliau berkata, mangsa bersama-sama empat orang yang lain telah tiba di Malaysia dari Wuhan, China pada 25 Januari lalu.

”Sebaik sahaja dua kes terdahulu dikesan positif (kes-14 dan kes-16), masing-masing pada 5 Februari dan 7 Februari lalu, wanita itu telah diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan.

”Hasil aktiviti pemantauan secara berterusan ke atasnya oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mendapati, dia mula mengalami gejala demam dan batuk pada 12 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, wanita China itu telah dirujuk ke HKL untuk dimasukkan ke wad bagi menerima rawatan dan siasatan selanjutnya.

Tambahnya, ujian pengesanan dan pengesahan Covid-19 yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada hari yang sama.

”Dia kini telah dimasukkan ke wad isolasi di HKL dan berada dalam keadaan stabil,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas