Artikel

Labuan dan sambutan Hari Malaysia

DATARAN Wilayah Persekutuan Labuan. - Gambar hiasan
- Diterbit 5 September 2019 9:03 AM MYT

LABUAN menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 16 September 1963 iaitu berserta dengan Sabah kerana pulau itu adalah sebahagian daripadanya.

Seperti mana Kuala Lumpur menjadi sebahagian daripada Malaysia, juga pada waktu sama, kerana ketika itu ibu kota Persekutuan merupakan sebuah daerah dalam Selangor.

Pada masa itu, Putrajaya bukan saja belum wujud malah tidak terfikir oleh sesiapa mengenainya. Namun, tapak Putrajaya iaitu Prang Besar, seperti juga Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada Selangor.

Sempadan daerah Kuala Lumpur dalam Selangor meliputi Petaling Jaya yang mula dibangunkan pada tahun 1952. Tujuannya adalah untuk dijadikan bandar sokongan bagi Kuala Lumpur. Apabila Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan pada tahun 1974, Petaling Jaya dimasukkan ke dalam daerah Petaling.

Selangor dan Sabah adalah negeri yang istimewa pada negara ini kerana kedua-duanya telah melepaskan sebahagian daripada tanah mereka untuk dijadikan Wilayah Persekutuan. Lebih-lebih lagi bagi Sabah yang merupakan negara tersendiri sebelum Malaysia ditubuhkan.

Sabah yang di dalamnya ada Labuan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963. Negara itu kemudian bersama Malaya, Singapura dan Sarawak menubuhkan Malaysia pada 16 September 1963. Labuan menjadi Wilayah Persekutuan pada tahun 1984.

Selangor yang di dalamnya ada Kuala Lumpur dan Prang Besar mencapai kemerdekaan sebagai sebahagian daripada Malaya pada 31 Ogos 1957. Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Putrajaya menjadi Wilayah Persekutuan pada tahun 2001.

Ketika Malaysia mula ditubuhkan, Malaya dan Singapura dinamakan Malaysia Barat manakala Sarawak dan Sabah dipanggil Malaysia Timur. Dari segi kedudukan geografi, Malaya dan Singapura terletak di Semenanjung yang dalam bahasa Inggeris dipanggil Malay Peninsula yang dikira dari Segenting Khra di Thailand hinggalah Singapura. Apabila diterjemahkan, ia menjadi Semenanjung Tanah Melayu. Di atas semenanjung ini, kini terdiri daripada Thailand Selatan, Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Sarawak dan Sabah pula berada di pulau Borneo. Pihak Indonesia memanggilnya pulau Kalimantan. Di atas pulau ini terdapat negeri-negeri Malaysia, Brunei dan provinsi-provinsi Indonesia.

Selepas Singapura dikeluarkan daripada Malaysia, istilah Malaysia Barat digantikan dengan Semenanjung Malaysia. Sementara itu, istilah Malaysia Timur tidak digunakan.

Maka kini, Kuala Lumpur dan Putrajaya terletak di Semenanjung Malaysia dan Labuan berada di pulau Borneo. Ketiga-tiga wilayah ini merupakan tonggak pada integrasi Persekutuan antara Semenanjung Malaysia dan Borneo Malaysia, suatu istilah yang gemar digunakan oleh pihak promosi pelancongan.

Victoria

Labuan mempunyai ibu kota yang pihak British menamakannya sebagai Victoria, setelah merdeka ia dinamakan sebagai Bandar Labuan. Pusat bandar Kuala Lumpur ditetapkan oleh pihak British sebagai tempat di mana dibina jam besar.

Jam besar Kuala Lumpur terletak di Market Square atau Medan Pasar. Apabila Government Offices yang kini bernama Bangunan Sultan Abdul Samad didirikan bersama menara jamnya, maka kawasan itulah yang dianggap pusat bandar. Sebelum British mentadbir, pusat bandar Kuala Lumpur adalah di pangkalan lumpur di mana terletaknya Masjid Jamek.

Nama Labuan berasal daripada perkataan labuhan atau pelabuhan. Ia juga pernah dipanggil sebagai Pearl of Borneo atau Mutiara Borneo. Dalam hal ini, ia mempunyai per­samaan dengan Pulau Pinang. Apa­bila mula memperoleh pulau Labuan, pihak British menyayangi pulau ini, yang dianggap sebagai strategik bagi kepentingan British di Asia Tenggara.

Di Pulau Pinang, ibu kotanya dinamakan Georgetown atau Bandar George mengambil sempena nama raja British iaitu King George manakala di Labuan, ibu kotanya dipanggil Victoria mengambil sempena nama Ratu British, Queen Victoria. Pernah pada satu masa British berkira untuk membangun­kan Labuan sebagai Singapura kedua.

Labuan diwujudkan sekitar pada kurun ke-15 di bawah kedaulatan Sultan Brunei. Masa itu, Kuala Lumpur dan Prang Besar belum wujud dan me­rupakan hutan-hutan tidak bernama. Maknanya, Labuan ini jauh lebih tua daripada Kuala Lumpur dan Prang Besar.

Kesultanan Selangor yang berpusat di Kuala Selangor ditubuhkan pada tahun 1756. Kuala Lumpur di­kesan wujud sekitar 1820-an dan Prang Besar hanya membentuk selepas Perang Dunia Pertama iaitu sekitar tahun 1921.

Pada tahun 1846 atas usaha James Brooke, Perjanjian Labuan memindahkan kedaulatan ke atas Labuan kepada British. Ia menjadi Jajahan Mahkota British mulai tahun 1848 dengan James Brooke sebagai gabenor pertamanya.

Pada tahun 1890 hingga 1904, ia diletakkan di bawah British North Borneo Company yang mentadbir North Borneo dan berpusat di Jesselton. North Borneo itu kemudian menjadi Sabah dan Jesselton adalah Kota Kinabalu. Pada tahun 1904, sebagai sebahagian daripada North Borneo, ia dijadikan Protectorate atau wilayah naungan British.

Bagaimanapun, pada tahun 1907, ia menjadi salah satu daripada Straits Settlements atau Negeri-negeri Selat bersama dengan Singapura, Melaka, Dinding, Pulau Pinang dan Cocos Islands. Kini Dinding berada dalam daerah Manjung, Perak dan Cocos Islands yang mana terdapat penduduk Melayu berada di bawah pentadbiran Australia.

Ketika itu, Selangor adalah salah sebuah daripa empat Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) dengan Kuala Lumpur menjadi ibu kotanya. Prang Besar belum wujud. Kawasan itu merupakan hutan belantara Ayer Hitam yang luas.

Pada tahun 1941, Jepun menakluki Labuan seperti mana banyak tempat di Asia Tenggara. Mereka menamakan Labuan sebagai Maedashima atau Pulau Maeda mengambil sempena nama komander pertama Jepun di Borneo utara yang terkorban di Bintulu, Sarawak. Jepun juga menakluk Malaya, Sarawak dan Borneo Utara.

Apabila British menakluk balik Labuan pada tahun 1945, ia diletakkan di bawah British Military Admi­nistration (BMA) yang turut mentadbir Malaya, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara.

Selepas tahun 1946, Labuan diletakkan di bawah pentadbiran North Borneo. Ketika itu, British menubuhkan Malayan Union yang mana Selangor yang di dalamnya terdapat Kuala Lumpur dan Prang Besar. Pada masa itu juga, Kuala Lumpur dijadi­kan ibu kota Malayan Union.

Selepas Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1946, Kuala Lumpur tetap dipilih sebagai ibu kota. Ketika Malaysia dicadangkan ditubuhkan, Kuala Lumpur terus menjadi ibu kota walaupun kota Singapura lebih besar dan maju.

Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra pernah berkata bahawa kalau Kuala Lumpur ibarat Washington, iaitu ibu kota Amerika Syarikat maka Singapura adalah New York Malaysia. Harapan beliau tidak tercapai apabila Singapura dikeluarkan daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas