Veteran komando Vat69 kongsi kisah buru komunis

Veteran komando Vat69 kongsi kisah buru komunis

Oleh AZLAN ZAMBRY
azlanwilayahku@gmail.com

PUTRAJAYA – Keamanan tidak dicapai dengan mudah kerana nyawa anggota keselamatan Komando Vat 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjadi taruhan ketika mereka berusaha memerangi komunis yang bertapak di negara ini suatu masa dahulu.

Bagi Veteran Komando Vat 69, Sarjan Mejar (B) GP. Balan, pengalaman menyertai operasi memerangi pengganas komunis masih segar dalam ingatan walaupun perkara tersebut telah berlalu puluhan tahun yang lalu.

“Saya di arah untuk menyertai satu operasi yang dinamakan ‘Gerakan Cat Fish’ pada tahun 1983 yang bertempat di Tanah Hitam, Perak.

“Semasa operasi tersebut pasukan terpaksa tinggal di dalam hutan selama satu bulan. Melalui intipan, kami telah berjaya menyerang sepasukan pengganas komunis dan menangkap 14 orang daripadanya hidup-hidup,” katanya.

Tambahnya lagi, selain dari operasi tersebut, beliau turut menyertai puluhan operasi lain dan sehingga mengorbankan rakan sepasukan.

“Dalam memerangi komunis ketika itu, ada juga rakan sepasukan yang kehilangan kaki akibat terpijak jerangkap samar.

“Malah, ada sehingga kini veteran yang menanggung kecacatan fizikal akibat operasi yang disertai,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES