Berita

Labuan alami gangguan bekalan air

ORANG ramai disarankan menyimpan air yang secukupnya dan berjimat serta berhemah dalam penggunaan air untuk mengurangkan impak gangguan air.
- Diterbit 28 Ogos 2021 4:02 AM MYT

HAMPIR seluruh kawasan di Pulau Bebas Cukai ini mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini, susulan terdapat masalah pengoperasian di Loji Rawatan Air Jalan Kolam.

Menurut kenyataan Jabatan Bekalan Air Labuan memaklumkan susulan gangguan bekalan air itu pihaknya telah meletakkan tangki-tangki statik di beberapa lokasi yang terjejas bermula semalam.

“Penghantaran bekalan air melalui lori tangki akan dilaksanakan secara berperingkat di kawasan tangki-tangki statik tersebut,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang ingin mendapatkan bekalan air dikawasan tangki statik dinasihati untuk memastikan dan mematuhi kepada prosedur operasi standard (SOP).

Sehubungan itu, orang ramai disarankan menyimpan air yang secukupnya dan berjimat serta berhemah dalam penggunaan air untuk mengurangkan impak gangguan air.

“Orang ramai digalakkan untuk menadah hujan sebagai kegunaan luaran (Rain Water Harvesting) sepanjang tempoh gangguan bekalan air ini.

“Sebarang masalah yang dihadapi berkenaan gangguan sementara bekalan air boleh menghubungipihak Jabatan di talian 087-410200 atau talian Whatsapp 0138560755 (8.00 Pagi – 5.00 Petang),” katanya lagi. – WILAYAHKU –

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas