Berita

Kompetitif hadapi cabaran masa depan

Penyerahan bakul makanan disempurnakan oleh Bashir. Penyerahan bakul makanan disempurnakan oleh Bashir.
- Diterbit 28 Ogos 2021 3:00 AM MYT

GOLONGAN belia masa kini perlu bersifat kompetitif dan mempunyai ilmu bagi menghadapi cabaran yang terbuka di masa hadapan.

Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, para belia perlu dibekalkan dengan pelbagai ilmu yang berguna bagi mendepani cabaran membangunkan Negara.

“Kalau ingin melihat kemajuan Negara kita di masa hadapan lihatlah belia pada zaman ini, tanamkan ilmu-ilmu yang berguna kepada belia seperti ilmu perniagaan, kepimpinan dan sebagainya bagi melahirkan generasi belia yang bermutu.

“Masa depan menjanjikan cabaran yang begitu besar dengan kepesatan teknologi komunikasi yang moden kita bukan hanya bersaing di dalam Negara malah ke peringkat antarabangsa, para belia perlu bersedia dengan ilmu agar mampu bersaing serta menempuh cabaran masa depan,” katanya semasa berucap pada Program Agihan Bakul Makanan Belada dan Merdeka@Komuniti anjuran bersama Persatuan Belia Kampung Sungai Lada dan Jabatan Penerangan Labuan, di Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada, baru-baru ini.

Beliau turut menyeru persatuan-persatuan belia agar sentiasa berhubung dengan agensi-agensi lain bagi mencari peluang meningkatkan ilmu serta kemahiran para belia tempatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan, Supian Musa berkata, para belia perlu menghayati semangat kemerdekaan Negara yang sebenar.

“Para belia perlu memerdekakan pemikiran mereka daripada sebarang unsur yang negatif, belia perlu bebas daripada pemikiran yang menghalang diri mereka dari melakukan perubahan yang lebih baik.

“Jangan terpengaruh dengan idealisma yang membawa belia kepada budaya yang tidak mencerminkan aspirasi pembentukan Negara ini, kita perlu kekal dengan acuan yang sederhana dan tidak melampau dalam menyuarakan pandangan serta kritikan,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan.

Supian turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Belia Kampung Sungai Lada (Belada) yang menjadikan JaPen sebagai rakan strategik dalam menggelorakan semangat cintakan negara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Pada program itu, sebanyak 40 bakul makanan disumbangkan kepada beberapa pertubuhan belia dan penduduk kampung Sungai Lada selain edaran bahan penerbitan JaPen kepada penduduk kampung.

Hadir sama Ketua Kampung Sungai Lada, Jali Mumin, Presiden
Majlis Belia Labuan, Abdul Mutalib Sahari dan Pengerusi Belada, Faridzuan Abdul Harah. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas