Berita

PUSARA sedia terima bantuan kendali waris COVID-19

ZAIZALNIZAM (kiri) menyerahkan beg
- Diterbit 28 Ogos 2021 5:00 AM MYT

PUSAT Urus Jenazah Sementara (PUSARA) mengalu-alukan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh menyediakan khidmat nasihat psikososial untuk waris yang kematian keluarga akibat COVID-19.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Rohana Johan berkata, kemudahan itu boleh disediakan bagi memberi sokongan dan khidmat nasihat untuk waris yang sedang menunggu giliran ketika urusan tuntutan jenazah dibuat di PUSARA.

“Ketika urusan tuntutan di buat, ia mengambil masa dan dalam tempoh tersebut, waris boleh mendapatkan nasihat bagi meredakan tekanan dan kesedihan yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Beg Mayat untuk PUSARA di HKL yang disampaikan Pengarah Eksekutif RumahPrihatin@GrandSeasons, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun.

Menurut Rohana, selain daripada khidmat tersebut, pihaknya turut mengalu-alukan bantuan dan sumbangan tenaga supaya operasi pengelolaan jenazah di PUSARA dapat dipercepatkan.

Sementara itu, Zaizalnizam berkata, sumbangan beg mayat yang disalurkan adalah untuk membantu keperluan khas dan kegunaan PUSARA.

“Kita dapat makluman bahawa ada ketika beg mayat yang digunakan koyak kerana proses mengalihkan jenazah dilakukan berulang kali dari Jabatan Forensik HKL hingga ke PUSARA sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya sambil mengalu-alukan kehadiran petugas kesihatan untuk menginap di BilikPrihatin@GrandSeasons dengan kadar yang berpatutan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas