Berita

Kerajaan tidak terbabit pembelian tanah

pembangunan Kampung Baru adalah secara usaha sama antara pemaju dan pemilik tanah atau petak. pembangunan Kampung Baru adalah secara usaha sama antara pemaju dan
- Diterbit 17 September 2021 2:35 AM MYT

KERAJAAN akan meneruskan perancangan pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur melalui pendekatan organik dan berfasa mengikut blok.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pendekatan berkenaan berkeupayaan untuk meneruskan progam pembangunan semula dan kini 44 blok sudah dikenalpasti.

“Kerajaan tidak akan terlibat dalam pembelian tanah secara keseluruhan. Sebaliknya, pembangunan Kampung Baru adalah secara usaha sama antara pemaju dan pemilik tanah atau petak, mengikut blok-blok pembangunan tersebut.

“Selaras dengan pendekatan baru ini juga, peruntukan kerajaan hanya akan digunakan bagi pembangunan infrastruktur melalui penaiktarafan jalan-jalan utama dan akses keluar masuk Kampung Baru yang menjadi pemangkin kepada pembangunan semulanya.

“Nilai hartanah yang ditawarkan kepada pemilik tanah bergantung kepada mekanisme pembangunan yang akan dilaksanakan mengikut kesesuaian pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad semasa sesi Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas pada Selasa.

Menurut Shahidan, melalui pendekatan baharu tersebut, pihaknya akan membangunkan Kampung Baru mengikut tiga fasa pembangunan.

Jelasnya, pembangunan jangka pendek adalah dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2021 hingga 2025 yang mana ia melibatkan cadangan pembangunan semula kawasan Sungai Baru, Flat PKNS Jalan Tun Razak dan pembangunan tapak klinik kesihatan dengan pembangunan yang lebih ekonomik.

Dalam tempoh sama ujarnya, pembangunan infrastruktur yang melibatkan cadangan pelebaran dan menaiktaraf Jalan Raja Uda Kampung Baru, cadangan sambungan DUKE 2A dari Jalan Kuching ke Kampung Baru di Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan pembinaan akses keluar masuk lebuhraya AKLEH di Sungai Baru.

“Pembangunan jangka sederhana melibatkan tempoh masa 10 tahun dari 2025 hingga 2034 dan ditumpukan kepada pembangunan kediaman yang kompetitif di Kampung Periok dan pembangunan blok yang berpotensi di Kampung Pindah.

“Bagi pembangunan jangka panjang, ia melibatkan tempoh masa 20 tahun iaitu dari 2021 hingga 2040 dan fokus kepada mempromosikan serta membangunkan blok-blok pembangunan yang berpotensi dari semasa ke semasa bergantung kepada kesediaan pemaju,” katanya.

Shahidan berkata, mengenai peruntukan pembangunan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) melalui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah membuat permohonan peruntukan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) sebanyak RM148 juta iaitu untuk perolehan tanah Kampung Pindah sebanyak RM100 juta (premium tanah).

Selain itu, katanya, peruntukan RM48 juta untuk pengambilan tanah bagi pelebaran dan menaiktaraf Jalan Raja Uda dan masih menunggu kelulusan pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU). -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas