Berita

KWP sokong pembangunan semula PA Seri Negeri Sembilan

KHALID menandatangani plak perasmian Pusat Komuniti Penduduk Perumahan Awam Seri Negeri Sembilan yang disumbangkan oleh Kumpulan Skyworld di sini semalam.
- Diterbit 30 September 2019 2:30 AM MYT

AZLAN ZAMBRY

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyokong dan akan membantu hasrat pihak swasta yang mahu Perumahan Awam (PA) Seri Negeri Sembilan dibangunkan semula demi keselesaan penduduknya.

Menterinya, Khalid Abd. Samad berkata, pihaknya akan berusaha menjayakan matlamat berkenaan kerana memahami hasrat dan harapan penduduk di perumahan awam tersebut yang mahu pembangunan dilakukan.

“Insha Allah, kita akan jadikan ia sesuatu yang realiti. Dengan adanya projek pembangunan semula ini, pembangunan mampan dapat diwujudkan selain meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduknya.

“Saya amat menggalakkan projek-projek pembangunan semula dilaksanakan di PA mahu pun projek perumahan rakyat (PPR) di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap pada perasmian Program Perumahan Ku Bersih & Karnival Kerjaya di Perumahan Awam Sri Negeri Sembilan di sini kelmarin.

Tambah Khalid, penduduk terbabit juga akan mendapat faedah memiliki kediaman baru selepas pemilik-pemilik kediaman mendatangani surat setuju terima untuk pembangunan semula perumahan awam ini.

“Sebahagian pemilik ini akan mendapat unit yang baru dan paling kurang keluasan yang ditawarkan pemaju adalah 800 hingga 900 kaki persegi.

“Selain itu, unit tersebut juga turut menawarkan tiga bilik tidur dan dua bilik air sebagai ganti kepada unit yang telah dibeli dahulu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas