Berita

KWP rancang buka pusat usahawan jahitan kreatif

SHAHIDAN melihat produk keluaran usahawan jahitan kreatif di Kompleks Muhibbah hari ini.
- Diterbit 30 September 2021 10:27 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) sedang merancang untuk mewujudkan sebuah pusat yang dapat mengumpulkan usahawan jahitan kreatif.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pusat itu akan dapat membantu usahawan jahitan kreatif untuk memasarkan produk keluaran mereka dan boleh menjadi tumpuan pelancong.

“Sekarang ini mereka banyak hasilkan produk di rumah dan kalau kita ada satu pusat penjualan yang lebih besar, sudah pasti ini akan meningkatkan pemasaran.

“Mereka memasarkan produk di rumah masing-masing secara online, tetapi kalau kita ada pusat, ia mungkin di dalam dewan disamping mereka ada usahawan di keliling itu, ia juga boleh menjadi tempat untuk memasarkan barangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Program Turun Padang Usahawan Jahitan Kreatif di Kompleks Muhibah di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memikirkan konsep pusat itu dan ia mungkin akan turut menempatkan tempat makan seperti di kompleks beli belah.

“Kita akan fikirkan konsep itu, dimana kita menjual barangan ini, dan diluarnya tempat makan.

“Jadi orang akan ada sesuatu yang menarik tentang jahitan seni kreatif ini dan kalau kita pergi supermarket pun kita akan nampak barangan seperti ini yang kebanyakannya diimport dan ini adalah barang tempatan yang mempunyai kualiti yang baik,” katanya.

Shahidan berkata, pihaknya turut akan bekerjasama dengan agensi kerajaan serta pihak swasta untuk mewujudkan pusat tersebut.

Shahidan berkata, untuk permulaan, seramai 50 orang peserta telah dipilih untuk menyertai program tersebut dan pihaknya bercadang untuk meningkatkan lagi penyertaan untuk program tersebut kepada golongan B40.

“Kita kena tambah, 50 (peserta) ini terlampau kecil. Kita mungkin tambah untuk 200. Jadi dalam masa 100 hari ini, inilah kerja kita untuk pastikan apa yang dilaksanakan dahulu ditingkatkan.

“Untuk permulaan ini, bagi kumpulan kedua, mungkin 150 orang akan dipilih untuk mengikuti program ini.

“KWP akan beri peruntukan sebanyak RM10,000 seorang berbentuk kursus dan turut dibekalkan mesin jahit,” katanya.

Menjelas lanjut, Shahidan berkata pihaknya menawarkan kursus jangka pendek selama enam bulan dan kebanyakan peserta wanita yang telah mempunyai asas kemahiran tersebut.

“Mereka akan dilatih bagi meningkatkan kemahiran ini sehingga dia mahir buat.

“Tapi dalam tempoh 100 hari ini, kita akan cari jalan dan pendekatan jangka pendek untuk peserta ini dapat mengeluarkan produk sambil mereka belajar,” katanya.

Ujar Shahidan, pihaknya turut akan mengkaji untuk pemberian elaun kepada peserta yang mengikuti kursus, namun pada masa sama kehilangan sumber pendapatan.

“Kalau ada kekurangan nanti kita akan tengok bagaimana. Kalau kita dapati orang yang datang kursus ini akan hilang sumber pendapatan lain, itu akan difikirkan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Di peringkat kementerian, kita akan beri perhatian ini kalau kementerian ada sumber kewangan untuk membantu, itu lebih baik dan warga Wilayah Persekutuan mesti digerakkan supaya kemiskinan bandar dan gelandangan dapat dikurangkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas