Berita

Jawi benar masjid ikut kapasiti sebenar mulai esok

JAWI mengeluarkan ketetapan baharu bagi solat Jumaat dan fardu di masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan berkuat kuasa esok. Gambar - Agensi
- Diterbit 30 September 2021 2:51 PM MYT

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengeluarkan ketetapan baharu bagi solat Jumaat dan fardu di masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan berkuat kuasa esok.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, ketetapan baharu itu dibuat selepas mendapat perkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Beliau berkata, ketetapan itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang berkuat kuasa 1 Oktober ini.

“Kehadiran jemaah dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan 1.5 meter bagi semua aktiviti solat Jumaat, solat fardu dan solat berjemaah yang lain.

“Semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan seperti kuliah maghrib, kuliah subuh, kuliah dhuha, kuliah zohor.

“Selain itu, aktiviti tazkirah sebelum solat Jumaat, tadarus Al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Surah Yasin, tahlil, program zikir munajat dan doa turut dibenarkan namun tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu, Mohd Ajib menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Umat Islam juga diseru memanfaatkan peluang tersebut untuk mengimarahkan masjid dan surau serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak COVID-19 segera berakhir,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas