Berita

KWP, PL tingkatkan Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga di Labuan

JALALUDDIN berkata peruntukan bagi kemudahan infrastruktur 27 buah kampung di Labuan akan di masukkan ke dalam bajet tahunannya akan datang.
- Diterbit 27 September 2021 8:20 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan melalui Perbadanan Labuan (PL) giat mempertingkatkan Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga bagi membantu merangsang pertumbuhan ekonomi warga Labuan khususnya penjaja dan peniaga kecil yang terjejas pendapatan sejak pandemik covid-19 melanda negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, menerusi inisiatif tersebut, seramai 466 penjaja telah menerima lesen daripada Perbadanan Labuan.

“Daripada jumlah tersebut, 162 daripadanya adalah merupakan penjaja baharu yang berdaftar di bawah inisiatif tersebut dan kebanyakkan terdiri daripada peniaga Melayu iaitu 437 orang, 26 peniaga pula berbangsa cina dan hanya seorang sahaja peniaga berbangsa india,” katanya pada sesi Waktu pertanyaan-pertanyaan Menteri bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rozman Isli (P166-Labuan) mengenai pelan KWP bagi membantu golongan penjaja yang terjejas di Labuan serta kaedah penyelesaian yang lebih mampan serta mampu melonjak kembali pertumbuhan ekonomi domestik dengan kadar segera.

Jalaluddin berkata, bagi membantu golongan tersebut, PL telah memberikan pengecualian bayaran fi lesen penjaja bermula Julai 2020 hingga Disember 2021 dengan melibatkan kos RM78,500 ringgit serta pengurangan sewaan ruang niaga sebanyak 50 peratus.

“460 ruang niaga dibawah pengurusan PL bagi tahun 2021 menerima potongan diskaun iaitu melibatkan jumlah sebanyak RM783,450.00 ringgit,” katanya.

Menurut Jalaluddin, PL juga sedang menaiktaraf kira-kira 25 unit gerai dan tapak penjaja di dua kawasan iaitu Kampung Layang-Layangan dan Kampung Patau-Patau 1 dengan melibatkan kos kira-kira RM130,000 ringgit.

“Sebanyak sembilan unit gerai di tapak penjaja Kampung Layang-Layangan akan dibaikpulih dengan kos anggaran sebanyak RM50,000 yang dijangka siap sepenuhnya pada 14 Oktober ini.

“Di kawasan Patau-Patau pula melibatkan 16 unit dengan anggaran kos sebanyak RM80,000 dan dijangka siap sepenuhnya pada 11 November ini,” katanya.

Jelasnya, kesemua penjaja telah diberikan tapak sementara untuk berniaga sehingga proses pembaikan pulih selesai serta mereka akan menikmati kemudahan yang lebih selesa.

“Setelah selesai, mereka akan menikmati kemudahahan seperti bekalan air di setiap gerai, tapak yang lebih baik untuk elakkan masalah air bertakung dan kawasan gerai yang banjir berikutan keadaan tanah yang tidak rata dan berlopak, sinki di setiap unit serta gerai yang lebih tersusun, selesa dan dilengkapi dengan keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu KWP dengan kerjasama PL turut menyediakan bantuan peralatan perniagaan dibawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) kepada tiga golongan.

“Program ini adalah usaha sama KWP dan PL untuk membantu 40 orang golongan miskin tegar, fakir miskin dan berpendapatan rendah (B40) bagi mendapatkan bantuan tersebut dengan nilai antara RM5,000 hingga RM10,000, ” katanya.

Tambahnya, KWP turut berharap agar pelaksanaan dan perancangan yang diambil oleh dengan kerjasama PL dapat membuka peluang baharu serta merancakkan semula pendapatan dan ekonomi penjaja serta peniaga kecil di Labuan.-WILAYAHKU- HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas