Berita

Diskriminasi gaji dan perjawatan wanita perlu dihentikan

HARYATY berkata RMK-12 yang dibentangkan itu disifatkan sebagai inklusif dan mampan selari dengan matlamat kerajaan Keluarga Malaysia. HARYATY berkata RMK-12 yang dibentangkan itu disifatkan sebagai inklusif dan mampan selari dengan matlamat kerajaan Keluarga Malaysia.
- Diterbit 27 September 2021 8:49 AM MYT

PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan satu pembentangan yang bersifat inklusif dan mampan selari dengan matlamat kerajaan ‘Keluarga Malaysia’.

Pengerusi Persatuan Kesihatan Reproduktif Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata umum mengetahui pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara telah memberikan impak yang serius khususnya dalam pembangunan negara.

Jelasnya, cadangan kerajaan untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi dan proses membuat keputusan adalah sangat dihargai dengan penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada tahun 2025.

“Malah pelan perancangan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi usahawan wanita juga dilihat sebagai satu pengiktirafan dan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuhkan penglibatan dan peranan golongan wanita dalam pembangunan ekonomi negara.

“Hasil daripada laporan dan maklumat yang diterima, masih wujud sikap segelintir pihak dalam mendiskriminasi kaum wanita khususnya dalam isu penetapan gaji dan perjawatan teknikal/professional di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, adalah suatu yang menyedihkan apabila di era teknologi yang serba maju ini masih lagi wujud pihak yang mempunyai minda kelas ke-3 seperti itu.

Haryaty berharap usaha dan tindakan komprehensif dari pihak kerajaan dapat dilaksanakan bagi mengekang isu ini daripada semakin berleluasa dan menjadi amalan yang tidak sihat oleh majikan kerana kebolehan dan kemampuan wanita di negara ini telah terbukti selari malah ada yang mampu menjalankan tugas yang lebih baik. -WILAYAHKU- SABRINA SABRE 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas