Berita

Jalaluddin seru warga kota dapatkan pas My30

DATUK Seri Jalaluddin Alias (kiri) bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (tengah) serta Datuk Seri Mahadi Che Ngah (Kanan) menyempurnakan sesi Penyampaian Insentif My30 Kepada Warga Kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
- Diterbit 20 September 2021 9:09 AM MYT

“BAYANGKAN dengan hanya RM1, anda boleh menggunakan perkhidmatan Bas Rapid KL, Bas Perantara Sistem Aliran Massa (MRT), Bus Rapid Transit (BRT), Sistem Aliran Ringan (LRT), Sistem Aliran Massa (MRT) dan Monorail tanpa had selama 30 hari dengan menggunakan pas My30.“ kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Dalam hantaran dalam laman Facebooknya hari ini, Jalaluddin menyeru kepada warga kota untuk mendapatkan pas My30 yang juga inisiatif Kementerian Kewangan (MoF) untuk membantu orang ramai berjimat ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Dikala pandemik COVID-19 berterusan membuatkan kehidupan rakyat kita terkesan dari segi ekonomi dan kesihatan, sudah tentu inisiatif yang memberi penjimatan kepada belanja harian rakyat sangat diharapkan.

“Justeru, tengah hari ini saya hadir bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ke sesi penyampaian insentif My30 Kepada warga kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Jalaluddin berkata, sebagai permulaan, pengurusan DBKL menyasarkan pendaftaran dan pengaktifan kira-kira 1,000 pas My30 dan serta akan meningkatkan jumlah ini dari semasa ke semasa dan ia selari dengan Pelan Masyarakat Rendah Karbon di Kuala Lumpur sebagai bandaraya rendah karbon menjelang tahun 2030.

“Dengan adanya inisiatif ini, maka lebih ramai (warga kota) akan bermotivasi menggunakan khidmat pengangkutan awam.

“Ini secara tak langsung akan berupaya menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 65 peratus semasa waktu puncak,” katanya.

Ujarnya, orang ramai dinasihatkan tidak melepaskan peluang untuk mengaktifkan pas bulanan MY30 ini secara percuma di Kiosk Rapid KL yang telah dibuka oleh Syarikat Prasarana di premis DBKL mengikut tarikh yang di tetapkan.

Orang ramai boleh mendapatkan pas My30 di semua Kaunter Khidmat Pelanggan LRT, MRT, Monorel, BRT dan lima hab bas terpilih iaitu Pasar Seni, Sri Nilam, Kayu Hijau Terminal Kajang dan Seksyen 2, Shah Alam. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas