Berita

KWP kenal pasti laluan, galak aktiviti berbasikal

- Diterbit 29 Oktober 2020 4:21 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan telah pun mengenal pasti laluan bersesuaian untuk aktiviti berbasikal di sekitar Putrajaya, sebagai inisiatif menjadikannya bandar mesra sukan berbasikal.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, cadangan tersebut kini di peringkat akhir proses perlaksanaannya dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan membatalkan laluan yang sebelum ini digazet sebagai laluan motosikal ditukar kepada lorong berbasikal.

Beliau berkata, buat masa ini laluan sedia ada itu sedang dibaik pulih dan diperlengkapkan dengan  kemudahan untuk aktiviti berbasikal termasuklah menyediakan lokasi hentian (pit stop) dan kedai untuk keselesaan pengguna serta pengunjung.

“Aktiviti berbasikal di sekitar Putrajaya mendapat sambutan ramai malahan menjadi antara tarikan pengunjung luar negara beriadah sambil melawat setiap lokasi.

“Jadi, proses penyediaan lorong ini sedang dibuat dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa satu   hingga dua bulan lagi,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Komuniti Putrajaya di bawah Wilayah Cakna 3.0, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar dan Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain.

Mengulas lanjut Annuar berkata, Putrajaya sudah mempunyai kawasan yang dulunya dibina untuk laluan motosikal, namun bilangan penunggang motosikal agak berkurangan.

“Kita akan memanfaatkan kemudahan sedia ini dan diubah suai laluan tersebut dijadikan lorong untuk berbasikal.

“Kemudahan laluan berbasikal ini agak luas dari bulatan luar sejauh 34 km dan kira-kira 15 km di bulatan sangat bersesuaian untuk riadah santai sekeluarga di samping mewujudkan tarikan baru pengunjung yang hadir ke sini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas