Berita

GV7: NORANIZA IDRIS Saingan Terdekat? Ini Jawab AYU DAMIT

|AYU tampil dengan pakaian oleh Syomirizwagupta|NORANIZA Idris sentiasa tampil hebat dengan persalinan oleh Dokoh Exchange (Instagram: @dokohmy)
- Diterbit 30 Oktober 2020 12:09 AM MYT

PENYANYI Ayu Damit disebut-sebut sebagai saingan terdekat kepada ratu irama Malaysia Noraniza Idris dalam program hiburan Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).

Memperoleh markah tertinggi pada konsert minggu lalu dan diikuti Noraniza, ramai peminat berpendapat Ayu adalah calon juara untuk musim ini.

Enggan memikirkan hal tersebut, Ayu lebih selesa untuk fokus dan memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan.

AYU tampil dengan pakaian oleh Syomirizwagupta

“Bagi saya, sangat jauh kehebatan Kak Ani (panggilan untuk Noraniza) kalau nak dibandingkan saya. Kak Ani adalah seorang penyanyi hebat dan mempunyai identiti tersendiri.

“Berilah apa genre lagu sekalipun, dia tetap menyampaikannya dengan bagus seolah-olah itu adalah lagunya. Ini kerana, Kak Ani tetap tampil dengan suara dan gaya tersendiri dalam mempersembahkan lagu penyanyi lain,” katanya kepada Wilayahku.

NORANIZA Idris sentiasa tampil hebat dengan persalinan oleh Dokoh Exchange (Instagram: @dokohmy)

Bagi Ayu, baik Noraniza atau para perserta GV7 yang lain, setiap orang ada gaya tersendiri.

“Kalau ada yang berpendapat Kak Ani adalah saingan terdekat saya, sebenarnya semua peserta mempunyai Keistimewaan masing-masing.

“Macam saya sendiri lebih suka enjoy apabila berada di atas pentas. Tipulah kalau cakap tak nervous. Jujurnya ‘seram’ juga nak bawa lagu penyanyi lain. 

“Misalnya dalam persembahan dalam lagu Senyuman Ragamu pada konsert minggu ketiga, saya perlu bawa irama rap. Itulah perkara yang saya sangat bimbang kerana saya tidak pernah bawa lagu rap.

“Tak sangka pula ia menjadi dan ramai yang suka. Sejujurnya, susunan muzik Tok Ram (Datuk Ramli MS) sangat membantu saya dalam mempersembahkan lagu tersebut,” ujarnya yang sudah membuat persediaan untuk lagu Jahat nyanyian asal Stacy yang bakal dipersembahkan dalam konsert minggu keempat. 

“Lagu Jahat ini amat mencabar saya untuk menyebut satu persatu bait lirik dengan pantas dan jelas. Ia tidak mudah. Tambahan pula saya perlu menari dengan memakai kasut bertumit tinggi.

“Saya sudah lakukan banyak latihan. Apa yang penting, saya mahu enjoy di pentas. Tak mahu stres,” katanya lagi.

Jangan Lupa tonton persembahan Ayu Damit dan para peserta lain dalam konsert minggu keempat GV7 pada Ahad ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas