Berita

Isu pencerobohan China: Putrajaya didesak adakan rundingan antarabangsa

BEBERAPA portal pertahanan antarabangsa mendakwa terdapat sejumlah kapal Pengawal Pantai China menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
- Diterbit 2 Oktober 2021 7:15 AM MYT

KERAJAAN negeri Sabah memandang serius tindakan keterlaluan China yang disifatkan sebagai ancaman terhadap kerajaan Malaysia dan negeri Sabah secara menyeluruh.

Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Datuk Seri Bung Moktar berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada kerajaan Pusat untuk segera mengatasi perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan rakyat Sabah dan bakal menjejaskan banyak industri seperti ekonomi dan perlancongan negeri itu.

“Saya memandang berat perkara ini kerana isu ini telah berlarutan sejak sekian lama sehingga banyak berlakunya pencerobohan di sempadan perairan negara yang melibatkan pulau-pulau kecil di kawasan berhampiran.

“Saya yakin dan percaya kerajaan pusat akan dapat segera menyelesaikan perkara ini kerana tindakan China ini bakal memberikan implikasi buruk kepada keselamatan dan ekonomi kerajaan negeri serta menimbulkan kebimbangan rakyat dan pelabur seperti perniagaan laut dalam, perlancongan dan sebagainya.

“Di masa yang sama saya berharap agar pihak keselamatan seperti maritim dan TUDM serta semua yang terlibat untuk bersama-sama mempertingkatkan keselamatan di perairan dan sempadan negara,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Semalam Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, insiden pencerobohan perairan negara melibatkan kapal daripada China telah berlaku sejak 2013 dan terdapat peningkatkan aktiviti tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Abdul Rahman mengulas laporan beberapa portal pertahanan antarabangsa yang mendakwa terdapat sejumlah kapal Pengawal Pantai China menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Insiden itu berlaku selepas tidak sampai 24 jam TUDM melakukan latihan bersama Amerika Syarikat (AS) apabila dua kapal negara itu dengan kod CCG 5202 dan CCG 6307 bertindak biadab memasuki kawasan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti.

Ketika mengulas lanjut, Bung yang juga merupakan Ketua UMNO Sabah berkata pihaknya berharap agar kerajaan pusat mendesak agar satu rundingan segera diadakan dengan semua pihak yang terlibat.

“Saya serah pada Menteri Luar untuk melihat dan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menanggani perkara ini. Perlu segera diselesaikan sebab kalau semua negara mahu tuntut boleh menyebabkan berlakunya kekacauan.

“Bagi pihak kerajaan negeri kami mengharapkan agar perundingan di peringkat antarabangsa dapat segera diadakan bagi mencari jalan peneyelesaian kerana perbalahan yang berterusan telah mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat.

Filipina pada Jumaat menzahirkan rasa marah dengan menghantar bantahan diplomatik kepada Presiden Xi Jinping ekoran laporan perisikan negara itu berhubung pencerobohan hampir 100 buah kapal China yang dilihat memasuki perairan Laut China Selatan yang dituntut Manila. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas