Berita

KWP atur 65 program hiasi SHWP2022

MENURUT Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, sebanyak 65 program telah disusun atur sebagai pengisian SHWP 2022 khusus untuk semua lapisan masyarakat.
- Diterbit 24 Januari 2022 7:26 AM MYT

SAMBUTAN Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2022 yang bakal disambut pada 1 Febuari ini akan diisi dengan 65 program yang khusus untuk semua lapisan masyarakat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, program tersebut telah mula dilaksanakan sepanjang Januari dan Febuari ini bagi merancakkan lagi SHWP tahun ini.

“Sebanyak 65 program telah disusun atur sebagai pengisian SHWP 2022, yang khusus untuk semua lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak, belia, dewasa dan juga keluarga.

“Aktiviti-aktiviti itu merangkumi enam teras utama iaitu Pengiktirafan; Ilmiah & Pendidikan; Usahawan; Kemasyarakatan; Seni & Budaya; serta Sukan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan KWP di Putrajaya di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Menurut Shahidan, pihaknya akan menganjurkan program berasingan bagi Sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur yang turut disambut pada tarikh yang sama.

Ia termasuk di dalam pengisiannya dan kita telah berbincang yang akan melibatkan sentuhan negeri-negeri dalam negara.

“Negeri-negeri ada makanan atau juadah istimewa tersendiri dan kebudayaan yang boleh dipersembahkan. Jadi ada hotel-hotel yang akan memperkenalkannya.

“Sebagai contoh, kemungkinan akan diadakan persembahan mengenai Hari Negeri Sembilan dan akan menunjukkan masakan istimewa dan mempersembahkan tarian kebudayaan negeri tersebut.

“Kemudian ia mungkin diikuti dengan negeri Perlis yang terkenal dengan keenakan air nira dan laksa, gulai ikan keli dan juga tarian canggung,” ujar beliau.

Jelasnya, konsep sentuhan negeri dalam meraikan Sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur diadakan disebabkan ramai penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang datang dari semua negeri.

“Memandangkan bandaraya ini merupakan Ibu Negara Malaysia dan semua warga negara Malaysia di seluruh negara berhak untuk bersama-sama meraikan Sambutan Jubli Emas Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau juga merancang untuk memperkenalkan program sentuhan negara-negara luar negara bagi memeriahkan lagi SHWP 2022 dan Sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas