Berita

YWP sedia kren, bantu bomba keluarkan serpihan bumbung

KETUA Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata pihaknya turut menyediakan makan malam, sarapan dan makan tengah hari untuk semua mangsa yang terlibat.
- Diterbit 24 Januari 2022 2:25 PM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) menyediakan kren bagi membantu pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk mengeluarkan serpihan bumbung di Pangsapuri Taman Melati yang pecah akibat dipukul ribut petang tadi kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Katanya, pihak penduduk telah mengubungi bomba untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat namun mereka menghadapi kesukaran untuk memanjat ke atas ekoran ketiadaan kren serta alatan yang bersesuaian.

“Saya telah berhubung dengan pihak operator kren dan kita sediakan disini kerana ia melibatkan empat blok dan setiap satu blok mempunyai 10 unit rumah dan keseluruhan yang terlibat adalah kira-kira 40 unit rumah di kawasan tersebut,” katanya kepada Wilayahku hari ini.

Menurut Zaizalnizam, setakat situasi terkini, penduduk yang terlibat telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di bawah blok masing-masing dan ada juga yang telah berpindah sementara ke rumah saudara mara yang berdekatan.

“Setakat ini jumlah sebenar mangsa yang terlibat belum dikenal pasti dan difahamkan pihak DBKL sedang mengumpul data berkenaan mangsa yang terlibat,” katanya.

Tambah Zaizalnizam, pihak YWP turut menyediakan makan malam, sarapan dan makan tengah hari untuk semua mangsa yang terlibat sehingga keadaan pulih dan akan memantau keperluan mangsa dari semasa ke semasa.

Dalam kejadian ribut petang tadi, kira-kira 40 unit rumah dari Blok A13, A14, A15 dan A16 di pangsapuri tersebut mengalami kerosakan akibat angin kencang dan hujan lebat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas