Konvoi Golden Ride bakal diteruskan ke Pantai Timur
SHAHIDAN (dua dari kiri) menyampaikan plak rakan strategik Golden Ride KL- Arau kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun dalam satu majlis sambutan penutup konvoi pada Ahad.

Konvoi Golden Ride bakal diteruskan ke Pantai Timur

SELEPAS kejayaan penganjuran Konvoi Golden Ride dari Kuala Lumpur ke Arau yang bertujuan untuk mempromosikan sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur, ia bakal diteruskan ke negeri Pantai Timur dalam masa terdekat.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, keputusan untuk mengadakan konvoi siri kedua itu diambil selepas selepas kejayaan konvoi pertama yang melibatkan 50 motosikal berkuasa tinggi.

“Lokasi siri konvoi Golden Ride seterusnya sepatutnya ke Johor namun disebabkan akan ada Pilihan Raya Negeri, perancangan konvoi terpaksa diubah ke negeri di Pantai Timur melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya kepada pemberita selepas majlis menyambut ketibaan peserta konvoi yang bermula di Dataran Merdeka di sini pada Jumaat, dan berakhir di Menara Kuala Lumpur hari ini.

Shahidan berkata, sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur yang bermula pada Februari ini bukan sahaja diraikan warga kota tetapi juga dihayati oleh seluruh rakyat kerana Kuala Lumpur telah melalui sejarah yang panjang dan banyak kejayaan dicapai dalam tempoh tersebut.

“Sambutan Jubli Emas ini melibatkan semua rakyat Malaysia. Oleh itu, kita merancang agar ada sentuhan negeri. Ada pesta budaya yang akan disertai oleh semua negeri, ada pesta makanan dari negeri-negeri dan lain-lain.

“Kita akan meraikan sejarah panjang Bandaraya Kuala Lumpur, maka semua rakyat Malaysia terlibat dengan kejayaan Kuala Lumpur,” katanya.

Terdahulu, konvoi Golden Ride diketuai oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias itu, turut diadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan asnaf dan B40 di dua lokasi, Parlimen Arau dan Parlimen Parit. – WILAYAHKU

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )