Berita

KWP akan bina pagar, tambah CCTV di kawasan kejiranan Putrajaya

SHAHIDAN (kanan) ketika Program Keluarga Malaysia Cuci Kuala Lumpur sempena World Cleaning Day di Bandar Baru Seri Petaling, hari ini.
- Diterbit 17 September 2022 5:57 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan memasang pagar serta menambah kamera litar tertutup (CCTV) dalam kawasan kejiranan di Putrajaya bagi membendung kejadian curi dan pecah masuk di kawasan itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pemasangan pagar tersebut akan dilakukan dalam tahun ini berikutan kekerapan kejadian tersebut berlaku.

Jelasnya, meskipun ia akan dialksanakan pada tahun ini, namun pihaknya perlu melalui beberapa prosedur sebelum ianya dapat dilaksanakan.

“Ia bukan macam bencana yang apabila perbelanjaan boleh dilakukan serta-merta. Sebaliknya ia melibatkan kos yang agak tinggi serta perlu melalui proses perolehan yang telah di tetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Keluarga Malaysia Cuci Kuala Lumpur sempena World Cleaning Day di Bandar Baru Seri Petaling hari ini.

Terdahulu, polis giat memburu tiga lelaki warga Indonesia dipercayai terlibat kes pecah rumah dan samun bersenjata yang mengakibatkan kerugian RM41,000 di sebuah rumah di Presint 11 pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu sepasang suami isteri diikat setelah lampu bilik tidur dinyalakan penjenayah terbabit.

Usaha mengesan tiga suspek terbabit masih dijalankan termasuk melaksanakan Op Tutup.

Shahidan berkata pembabitan komuniti setempat amat diperlukan bagi membendung masalah itu termasuklah menghidupkan semula Rukun Tetangga (RT) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) serta golongan peniaga kecil.

“Yang penting semua komuniti kena terlibat, kena hidupkan balik rukun tetangga dan Rela dan pegawai kerajaan yang bertugas boleh bercuti esok hari, ini kita nak hidupkan balik.

“Banyak tempat yang kita nak gerakkan supaya komuniti lebih aktif menghadapi perkara ini kerana kecurian yg berlaku tu boleh kata setiap hari dan ini satu perkara yang menyedihkan,” katanya.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas