Berita

Pasukan Sorak EightOne Putrajaya gamatkan stadium

GELAGAT Pasukan Sorak EightOne Putrajaya ketika memberi sokongan kepada pasukan Wilayah Persekutuan di Stadium UKM, Bangi semalam.
- Diterbit 17 September 2022 5:18 AM MYT

“Go WiPers go go go…! Kita menang”.

Itu antara sorakan daripada pasukan sorak EightOne Putrajaya yang jelas kedengaran ketika saingan akhir peringkat Kumpulan A acara Bola Sepak SUKMA yang diadakan di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, semalam.

Bunyi ‘stick balloon’ beserta sorakan dan pukulan gendang secara tidak langsung membantu menaikkan semangat atlet untuk menampilkan aksi terbaik bagi mengejar pingat yang diidamkan.

Ternyata aksi lincah pasukan sorak yang diilhamkan Masjils Sukan Wilyah Persekutuan (MSWP) ini berjaya mencuri perhatian penyokong yang hadir pada perlawanan tersebut.

Menurut Pengurus Pasukan Sorak EightOne Putrajaya, Ujie Hartini, meskipun tempoh latihan singkat namun kerjasama dari seluruh anggota membolehkan ia berjaya digerakkan.

“Pasukan ini ditubuhkan sejurus mendapat panggilan daripada pihak MSWP dua minggu lalu. Dalam tempoh itu, kita cari anggota, guru bimbingan sekali gus sempat berlatih sebanyak tiga kali sahaja,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tambahnya, pasukan sorak tersebut terdiri daripada 80 anggota secara keseluruhan yang dibahagi kepada dua kumpulan.

“Kita terbahagi kepada dua kumpulan tim A dan tim B. Semalam kita beri semangat buat pasukan bola sepak manakala hari ini tim A berada di South City Plaza, Seri Kembangan bagi acara muaythai manakala tim B akan memberi sokongan buat atlet gimnastik,” ujarnya.

Jelasnya, pemilihan pelajar adalah dalam kalangan pelajar tingkatan dua dan empat sahaja.

“Saya harap pasukan sorak ini tidak akan terhenti di SUKMA 2022 sahaja dan bantuan daripada pihak lain juga diperlukan bagi memantapkan lagi pasukan kecil ini.

“Semasa perlawanan bola sepak semalam, kita dapat lihat kolaborasi yang menarik antara pasukan sorak dan juga Perbadanan Putrajaya (PPj) yang bermain gendang.

“Kita harapkan selepas ini sebuah pasukan sorak yang lebih mantap dapat ditubuhkan akan tetapi pihak luar perlu membantu pihak sekolah kerana kekangan dari segi alatan,” ujarnya.

Katanya, ini merupakan sebahagian daripada pembelajaran luar bilik darjah yang dapat membantu pelajar dari segi komunikasi.

Terdahulu, SUKMA 2022 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malam ini.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas