Ibu kota wujud kerana merdeka

Ibu kota wujud kerana merdeka

OGOS adalah bulan istimewa bagi negara ini. Di penghujungnya, 31 Ogos adalah Hari Kebangsaan atau juga disebut sebagai Hari Kemerdekaan.

Namun begitu, apabila disebut Bulan Kemerdekaan, ia sering dikira dan disambut bermula pada 17 Ogos supaya ia sampai pada penghujungnya iaitu 16 September, iaitu Hari Malaysia. Semua tarikh tersebut adalah bermakna bagi negara ini, termasuk Wilayah Persekutuan dan lebih-lebih lagi Kuala Lumpur.

Ini kerana Kuala Lumpur adalah ibu kota negara, dalam bahasa Inggeris disebut capital city, kalau diterjemahkan menjadi bandar raya utama negara atau lebih tepat, bandar raya kebangsaan, national capital.

Kuala Lumpur dan 31 Ogos merupakan dua institusi kebangsaan. Yang satu ialah Bandar Raya Kebangsaan dan satu lagi ialah Hari Kebangsaan. Banyak lagi institusi yang diberi taraf kebangsaan seperti Lagu Kebangsaan iaitu Negaraku dan Bunga Kebangsaan iaitu bunga raya.

Maka dalam hal ini, Wilayah Persekutuan mempunyai kedudukan istimewa kerana di dalamnya terdapat dua bandar utama negara. Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara iaitu national capital dan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara atau adiministrative capital.

Kedudukan istimewa Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya wujud adalah kerana negara ini merdeka. Tanpa kemerdekaan negara, Wilayah Persekutuan tidak akan wujud, kedudukan Kuala Lumpur tidak menjadi istimewa dan Putrajaya juga mungkin tidak ditubuhkan.

Daripada kemerdekaan, maka tertubuhlah negara bangsa atau nation state. Ia membawa kepada konsep kebangsaan atau nasional. Kerana konsep kebangsaan inilah baru dapat diwujudkan konsep Hari Kebangsaan dan bandar raya nasional atau selalunya disebut sebagai ibu kota negara.

Konsep negara bangsa dan juga kebangsaan atau nasional hanya mula wujud pada sekitar kurun ke-18 dan menjadi luas selepas Perang Dunia Kedua apabila banyak tanah jajahan mencapai kemerdekaan.

Sebelum adanya negara bangsa, apa yang ada ialah negara kota atau city state, negara raja atau kingdom, empayar atau negara maharaja dan seumpamanya.

Sebagai contoh, Amerika Syarikat muncul apabila 13 wilayah Empayar British di Amerika Utara memberontak dan mengisytiharkan kemerdekaan daripada Raja British untuk menubuhkan sebuah negara bangsa Amerika yang tersendiri.

Begitu juga dengan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan daripada Empayar British untuk menubuhkan negara bangsanya sendiri. Apabila banyak tanah jajahan Empayar British mencapai kemerdekaan, maka United Kingdom sudah tidak menjadi empayar dan hanya muncul sebagai negara bangsa saja.

Ibu kota empayar umumnya terletak di mana maharaja bersemayam. Oleh kerana Raja British bersemayam di Istana Buckingham di London, maka kota menjadi ibu kota empayar. Apabila Britain sudah tidak menjadi empayar, maka London menjadi ibu kota negara bangsa itu.

Ibu kota

Tanah Melayu juga apabila mencapai kemerdekaan menetapkan ibu kota negara ialah di Kuala Lumpur. Ketua negara iaitu Yang di-Pertuan Agong ditetapkan bersemayam di Istana Negara, iaitu bangunan yang kini dijadikan Muzium Diraja.

Kalau bagi empayar, hari kebangsaannya selalunya merupakan hari ulang tahun keputeraan maharajanya. Sebenarnya istilah hari kebangsaan tidak tepat untuk empayar. Ini kerana empayar tidak ada konsep kebangsaan atau nasional.

Tetapi bagi negara bangsa biasa, selalunya hari kebangsaannya dirayakan sempena hari ulang tahun penubuhannya. Maka bagi mereka yang mencapai kemerdekaan daripada sesebuah empayar, seringkali ia merayakan hari ulang tahun kemerdekaannya sebagai hari kebangsaannya.

Maka Amerika Syarikat menjadikan hari ulang tahun kemerdekaannya daripada Empayar British sebagai Hari Kebangsaannya iaitu 14 Julai.

Walaupun pada asalnya ia hanya berupa 13 wilayah yang menjadi negeri Amerika Syarikat dan kemudian bertambah hingga 52 pada tarikh dan tahun berbeza, namun tarikh 14 Julai tetap diraikan sebagai Hari Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan.

Begitu juga dengan Tanah Melayu. Walaupun ia kemudian ditambah dengan Singapura, Sarawak dan Sabah pada tarikh dan tahun berbeza, Hari Kebangsaan tetap disambut pada hari ulang tahun kemerdekaan Tanah Melayu yang dicapai pada tahun lebih awal. Namun begitu, hari penubuhan Malaysia tetap disambut di peringkat nasional.

Ibu kota negara juga tidak berubah dengan penambahan negeri. Kuala Lumpur sebagai ibu kota Persekutuan Tanah Melayu turut dipilih sebagai ibu kota negara Malaysia.

Tetapi sebelum kemerdekaan, Kuala Lumpur telah menjadi ibu kota Persekutuan Tanah Melayu. Pada masa itu belum timbul konsep kebangsaan Tanah Melayu atau Malaya.

Sebelum kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu adalah gabungan negeri-negeri naungan. Sementara sebelum penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, ia merupakan tanah jajahan British dalam bentuk Malayan Union. Pada masa itu, ibu kotanya adalah juga Kuala Lumpur. Sebelum itu, Malaya diperintah oleh Pentadbiran Tentera British (BMA) yang tetap menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat operasinya.

Semasa pemerintahan Jepun, Malaya dipanggil Malai tetapi disebut Marai. Negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu diserahkan kepada Thailand. Pemerintah Jepun tetap menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu kotanya.

Sebelum pendudukan Jepun, Kuala Lumpur sudah dipilih sebagai pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang terdiri daripada Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketika itu Kuala Lumpur sudah dijadikan pusat pentadbiran Selangor walaupun ibu kota negeri terletak di Klang. Ini kerana dalam negara beraja, ibu kota adalah di mana raja bersemayam.

Istana Sultan Selangor bersemayam di Klang. Kemudian timbul konsep berbeza antara bandar diraja dan ibu negeri. Ibu negeri adalah di mana ditempatkan pusat pentadbiran. Kini bandar diraja Selangor ialah Klang tetapi ibu negeri ialah Shah Alam.

Konsep ini mula timbul sejak zaman FMS lagi. Perak ada Kuala Kangsar dan Ipoh. Pahang ada Pekan dan Kuala Lipis. Negeri Sembilan ada Seri Menanti dan Seremban. Tetapi dalam Kuala Lumpur menyatukan kembali kedua-dua konsep bandar dalam Persekutuan yang merdeka.

Tetapi kemerdekaan memberi erti berbeza pada sesebuah ibu kota. Kuala Lumpur di bawah pentadbiran British dan Jepun tentulah berbeza dengan apabila ia menjadi ibu kota Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia yang merdeka. Bangunan Parlimen yang ada di dalamnya Dewan Rakyat memberi erti bahawa nasib dan masa depannya ditentukan oleh warganegaranya dan bukannya penjajah di London atau Tokyo.

CATEGORIES