Berita

Kunjungan delegasi MPP UniMAP meraihkan sambutan Hari Malaysia di Laos

- Diterbit 15 September 2022 1:30 PM MYT

KUNJUNGAN 28 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang segak bertanjak sebagai simbol kedaulatan negara memeriahkan lagi sambutan Hari Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Canselor UniMAP Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai delegasi Jelajah Ilmu ke-16 UniMAP itu dan ketibaan baginda disambut oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane Qairunnisa Md Alias.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP Profesor Dr Zaliman Sauli.

Majlis bermula dengan bacaan Ikrar Rukun Negara dan nyanyian lagu patriotik oleh pelajar UniMAP, kakitangan kedutaan dan rakyat Malaysia di Laos.

Qairunnisa berkata sambutan itu berlangsung setiap tahun di Pejabat Kedutaan Malaysia bagi mengeratkan silaturahim dan memperingati Hari Malaysia.

“Kita jemput semua warga Malaysia yang berkesempatan untuk sama-sama meraikan dan memperingati tarikh keramat 16 Sept,” katanya kepada Bernama.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis berkenan menyampaikan sumbangan Ibnu Sabil sebanyak RM3,000 kepada Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane bagi membantu rakyat Malaysia yang berdepan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas