Berita

14 ditahan ceroboh perairan pelantar minyak Labuan

14 individu termasuk sembilan warga asing ditahan APMM kerana menceroboh perairan pelantar minyak Kikeh, Khamis lalu.
- Diterbit 9 Mei 2020 1:48 PM MYT

LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Labuan menahan 14 individu termasuk sembilan warga asing di kawasan pelantar minyak Kikeh, kira-kira 60 batu nautika dari barat laut Labuan, Khamis lalu.

Dalam kejadian pukul 8.21 malam itu, semua suspek berumur 14 hingga 71 tahun yang menaiki dua kapal nelayan dan tujuh bot kecil sedang leka memancing ikan sebelum ditahan anggota APMM dalam Op Pelantar.

Pengarah APMM Zon Labuan, Komander Nor Bakari Abu Bakar berkata, ketika kejadian, pihaknya sedang melakukan rondaan terhadap pencerobohan di kawasan pelantar minyak dan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Dua daripada suspek adalah rakyat tempatan, tiga berstatus penduduk tetap dan lima memiliki kad IMM3.

“Selebihnya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Bot nelayan dan semua suspek dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Menurut Nor Bakari, semua suspek juga menjalani ujian Covid-19 oleh petugas Jabatan Kesihatan.

Dalam pada itu, Nor Bakari memberi amaran kepada operator bot tempatan mengenai tindakan undang-undang yang boleh dikenakan sekiranya didapati mengupah pendatang asing tanpa izin (PATI). – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas