Berita

Duta-Duta ASEAN teroka Pahang, bantu industri pelancongan negara

Datuk Zainuddin Abdul Wahab|PROGRAM anjuran Tourism Malaysia ini memberi peluang kepada duta-duta negara ASEAN yang terlibat iaitu Singapura
- Diterbit 19 Ogos 2022 12:36 AM MYT

KUANTAN, Pahang punya keunikan dan tarikan tersendiri yang boleh diteroka.

Selain lokasinya menarik, Kuantan juga dikenali dengan kepelbagaian produk makanan, budaya dan kraf tangan yang unik.

Disebabkan keistimewaan itulah, Kuantan dipilih sebagai lokasi bersempena program Explore Pahang With ASEAN Ambassadors & High Commissoners, di Kuantan pada 14 hingga 16 Ogos baru-baru ini.

KETUA Pengarah Malaysia Tourism Promotion Board, Datuk Zainuddin Abdul Wahab

Program anjuran Tourism Malaysia itu memberi peluang kepada duta-duta negara ASEAN yang terlibat iaitu Singapura, Thailand, Filipina, Cambodia, Indonesia, Vietnam, Laos, Brunei dan Myanmar untuk merasai pengalaman pengalaman tiga hari di Kuantan.

Ketua Pengarah Malaysia Tourism Promotion Board, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata, antara tujuan program ini dianjurkan adalah untuk memperkenalkan lagi Kuantan sebagai destinasi menarik yang mesti dikunjungi.

“Ini adalah kali pertama kita bawa duta-duta ASEAN. Sebelum ini kita pernah bawa media dari negara luar.

“Tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk memperkenalkan destinasi-destinasi menarik di Malaysia kepada ketua perwakilan dan duta-duta besar dari negara ASEAN.

“Ada antara mereka belum pernah lagi sampai ke Kuantan yang merupakan antara lokasi menarik tempatan.

“Jadi program 3 hari 2 malam ini adalah untuk memperkenalkan tarikan yang ada di Kuantan agar pengalaman mereka boleh disampaikan apabila balik ke negara mereka,” katanya.

PROGRAM anjuran Tourism Malaysia ini memberi peluang kepada duta-duta negara ASEAN yang terlibat iaitu Singapura, Thailand, Filipina, Cambodia, Indonesia, Vietnam, Laos, Brunei dan Myanmar untuk merasai pengalaman pengalaman tiga hari di Kuantan.

Zainuddin juga menyatakan bahawa, walaupun Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain adalah serumpun, namun banyak perbezaan budaya menjadikannya lebih menarik.

“Walaupun Malaysia adalah serumpun dengan negara-negara ASEAN yang lain, tapi budaya yang kita amalkan adalah berbeza.

“Misalnya dari segi masakan dan gaya hidup itu sendiri. Malah dalam Malaysia sendiri mempunyai pelbagai budaya yang dipengaruhi oleh kesan-kesan sejarah.

“Jadi semua ini menarik untuk dikongai bersama mereka,” ujarnya.

KENANGAN manis aktiviti Sky Walk di Menara 188, Kuantan.

Menurut Zainuddin lagi, program ini bukan sahaja bermotifkan pelancongan semata-mata, malah ia adalah lambang keharmonian antara negara-negara ASEAN.

“Dalam masa yang sama, kita dapat lihat bahawa program ini juga sebagai bukti hubungan baik yang terjalin antara kita dan duta-duta ASEAN yang terlibat.

“Hubungan baik dengan mereka ini mampu menarik lebih ramai rakyat dari negara-negara ASEAN untuk datang ke Malaysia.

“Selepas ini, kita akan menilai program yang dianjurkan ini dan insya Allah boleh ke destinasi lain pula untuk program akan datang.

“Mungkin boleh bawa ke destinasi lain yang kurang pendedahannya kepada pelancong luar negara.

“Seperti mana yang kita sedia maklum, pelancong-pelancong dari luar negara kebanyakannya tertumpu di pantai barat dan kurang melancong di pantai timur. Jadi kita boleh bawa mereka ke Terengganu dan Kelantan pula,” ujarnya.

DUTA-dura ASEAN seronok mencuba pelbagai aktiviti yang popular di Kuantan.

Selain berhasrat mahu merancakkan lagi industri pelancongan tempatan, Zainuddin melihat program ini adalah salah satu usaha untuk membantu kerajaan memulihkan ekonomi negara.

“Alhamdulillah. Sejak sempadan dibuka, kita dapat melihat mulanya kemasukan pelancong-pelancong asing secara berperingkat.

“Insya Allah kita yakin dengan kerjasama daripada semua pihak, kita akan dapat membantu memulihkan ekonomi negara menerusi industri pelancongan.

 

“Lokasi berharga untuk dikunjungi” – Duta Besar Indonesia

Duta Besar Indonesia di Malaysia, Hermono, mengaku keunikan yang ada di Kuantan sangat istimewa dan perlu dikunjungi.

“Meskipun Malaysia dan Indonesia banyak persamaan, saya telah mencuba beberapa makanan tradisi antaranya kerepek dan sambal hitam yang rasanya sangat asli serta unik dan ia sangat bagus untuk dicuba dan dibeli pelancong.

“Saya turut mencuba mencanting batik. Budaya kraf ini sesuatu baharu buat saya, ini adalah tempat berharga untuk dikunjungi sama ada pelancong dari luar negara atau negeri-negeri lain.

“Tentunya selepas ini kita akan bawa cerita tempat ini ke Indonesia kerana ia lokasi yang harus dikunjungi,” katanya ketika ditemui di Bazar Serambi Teruntum.
Hermono juga turut diberi peluang mencuba busana dan permainan tradisional serta mengacau dodol.

HERMONO dari Indonesia mengagumi keunikan budaya di Malaysia khususnya di Pahang.

 

Sambal hitam buat Duta Besar Laos ‘jatuh hati’

Kalau berada di Kuantan, makanan yang wajib dimakan adalah sambal hitam Pahang.
Inilah antara faktor yang membuatkan Duta Besar Laos di Malaysia, Viengsavanh Sipraseuth, ‘jatuh hati’ dengan Kuantan.

“Saya amat menggemari makanan-makanan di Kuantan terutamanya sambal hitam yang buat saya teruja. Bukan itu sahaja, aktiviti mencanting batik di sini (Serambi Terutum) juga amatlah menarik.

“Bagi saya, ini satu penghormatan untuk saya berpeluang melihat Pahang yang indah ini, saya sangat menikmati semua aktiviti, terima kasih Tourism Malaysia kerana menjemput kami,” katanya.

Menerusi program ini juga, duta dan wakil negara ASEAN juga dibawa berkunjung ke mercu tanda baharu Pahang iaitu Kuantan 188, selain diberi peluang mencuba masakan patin tempoyak dan buah-buahan tempatan seperti durian, cempedak, salak dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas