Berita

Tanah Kampung Baru: RM43.5 juta seekar

KHALID dalam sidang akhbar khas di Menara Seri Wilayah di sini hari ini. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 11 November 2019 8:04 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad menegaskan tawaran kerajaan untuk pembelian dan pembangunan tanah di Kampung Baru Kuala Lumpur merupakan nilai tertinggi yang tidak pernah ditawarkan sebelum ini.

Jelasnya, tawaran baharu yang ditetapkan pada 24 Oktober lalu adalah RM1,000 sekaki persegi yang bersamaan RM43.5 juta seekar (0.4 hektar).

“Mana ada tanah milik orang Melayu dibeli dengan harga RM43.5 juta satu ekar, periksalah mana-mana tanah milik orang Melayu yang boleh dapat harga seperti ini, termasuk di Tanjung Piai (Johor).

“Saya tak tahu jika ada tawaran lebih baik dari ini boleh ditawarkan mana-mana pihak selepas ini, ia (pembangunan semula),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 24 Oktober lalu, kerajaan membuat tawaran baharu kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah yang terbabit dalam pembangunan semula pada harga RM1,000 bagi sekaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Berdasarkan harga baharu itu, RM850 adalah secara pulangan tunai dan baki RM150 diberikan dalam pegangan saham.

Dalam pada itu, menjawab video Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mempersoalkan bagaimana mendapatkan seratus peratus persetujuan daripada pemilik, Khalid berkata, beliau yakin pemilik akan bersama-sama membangunkan Kampung Baru apabila mereka mengetahui matlamat sebenar penubuhan penempatan Melayu itu.

Sehubungan itu, jelas beliau, semua pemilik tanah perlu mengingati semula tujuan pembangunan Kampung Baru yang diwujudkan lebih 100 tahun lalu kerana matlamat utama adalah memperbanyakkan golongan itu di ibu negara yang dahuluntya hanya terdapat kira-kira 200,000 penduduk.

“Sekarang penduduk Kuala Lumpur hampir mencecah 2 juta orang, jadi matlamat asal untuk wujudkan jumlah penduduk Melayu yang munasabah tidak akan tercapai jika kita kekalkan (Kampung Baru) seperti pada 1890 atau 1900.

“Jadi kita kena bangunkan kawasan itu mengikut aliran zaman supaya jumlah penduduk Melayu kita dapat tingkatkan sehingga 180,000 misalnya.

“Kalau orang kata jual tanah di situ mengkhianati amanah orang Melayu, itu tak betul, kamu (penduduk) jual tanah untuk dibangunkan semula, maka lebih ramai orang Melayu dapat tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid memaklumkan, sehingga semalam 1,716 pemilik tanah telah memberi maklum balas yang mana daripada jumlah itu, 93.7 peratus bersetuju dengan tawaran dikemukakan manakala bakinya iaitu 6.2 peratus tidak bersetuju dan 0.1 peratus memberi maklum balas yang keliaru.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan tuduhan pembangkang yang menggelarnya sebagai ‘broker tanah Kampung Baru’ kerana proses tawaran dan pembelian tanah dibuat secara terbuka dan telus, bukan secara rahsia.

“Kalau ada broker, harga tanah yang kerajaan nak beli dirahsiakan, jadi broker akan buat tawaran untuk beli pada harga lebih murah, kemudian jual pada kerajaan dengan harga RM850 kaki persegi.

“Ini dulu, sekarang telus, sebab itu mereka (pihak tertentu) marah pada saya kerana tak guna orang tengah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas