Berita

KSM pastikan kursus kemahiran ditawarkan terkini, keperluan pasaran

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 24 Februari 2024 7:10 PM MYT

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) sentiasa memastikan kursus kemahiran yang ditawarkan di institusi kemahiran kementerian itu terutama Institusi Latihan Perindustrian (ILP) sentiasa yang terkini, kemas kini dan selaras dengan keperluan pasaran.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata ia bagi memastikan pelajar mendapat kemahiran terkini, dan selepas itu mereka berupaya mendapat gaji yang lebih baik.

“Kita lihat ILP kebolehpasaran (graduan) ialah menjangkui lebih 90 peratus dan itu OK, masalahnya sekarang kita ialah bukan semua mereka dapat gaji tinggi.

“Apa kita nak buat ialah pastikan kemahiran dan sijil apabila keluar di pasaran kerja nanti berupaya dapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik.Kita kena pastikan kursus kemahiran (yang ditawarkan) terkini, dan selaras keperluan pasaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kereta Elektrik (EV), sistem EV serta dron di ILP Perai, di sini, dan majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha KSM Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Presiden Yayasan Mahir Malaysia Datuk P. Sri Ganes.

Sim berkata menerusi kerjasama antara sektor awam dan swasta itu, ILP Perai menerima sebuah kereta elektrik dan sistem EV bernilai RM250,000 dari syarikat Autotronics Center Of Excellent, dan sebuah dron RM6,000 dari SG Education Group Berhad.

Katanya sebagai permulaan ILP Perai akan melaksanakan program berkaitan EV dan teknologi dron melalui sembilan model latihan dan menawarkan pelbagai kursus jangka pendek kepada industri serta agensi awam.

“Di sini (ILP Perai) memang menawarkan kursus EV sebelum ini dengan menggunakan kaedah simulasi, dan menerusi kenderaan elektrik yang disumbangkan itu, pelatih boleh mendapat pengalaman dan belajar secara terus serta langsung bagaimana nak uruskan sistem EV.

“ILP Perai menjadi yang pertama menawarkan kursus EV ini dan selepas ini mungkin beberapa ILP lain akan turut tawarkan kursus ini bergantung kepada kewangan KSM, dan saya juga mengalu-alukan syarikat swasta untuk bersama-sama menyumbang kerana pelatih-pelatih kita latih akan jadi pekerja mereka nanti,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata ILP Perai dijenamakan semula menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pulau Pinang dengan menyasarkan Industri Kecil dan Sederhana sebagai pelanggan utamanya.

Menurutnya selain itu, ia akan menawarkan kursus jangka pendek kepada agensi awam dan swasta bagi mempercepatkan proses mengadaptasi teknologi khususnya berkaitan teknologi IR4.0 dan pendigitilan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas