Berita

Kren, konkrit hantui pemandu

KERETA yang dipandu wanita berusia 25 tahun remuk akibat dihempap konkrit. KERETA yang dipandu wanita berusia 25 tahun remuk akibat dihempap konkrit.
- Diterbit 4 Oktober 2020 6:00 AM MYT

Kemalangan yang nyaris meragut nyawa seorang pemandu wanita di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur baru-baru ini, menyerlahkan risiko yang dihadapi oleh para pemandu ketika melalui jalan atau lebuh raya di mana terdapat proses pembinaan atau menaik taraf jalan di kawasan berkenaan.

Dalam kejadian tersebut, kepingan konkrit bersaiz satu meter persegi daripada kerjakerja pembinaan Lebuh Raya bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) terjatuh dan menghempap kereta yang dipandu oleh wanita berusia 25 tahun itu. Impaknya begitu kuat sehingga meremukkan kereta berkenaan.

Bagaimanapun wanita berkenaan hanya cedera di tangan kiri. Orang ramai membantu menyelamatkannya sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Wanita tersebut terselamat kemungkinan kerana kepingan konkrit tersebut tidak jatuh tepat ke atasnya. Adi tidak dapat bayangkan apakah nasib yang diterima wanita itu seandainya konkrit berkenaan jatuh tepat.

Sebenarnya inilah risiko yang terpaksa ditempuhi oleh para pemandu di Kuala Lumpur apabila melalui jalan yang terdapat pembinaan tambahan di sekitarnya, seperti pelebaran jalan serta pembinaan jalan bertingkat atau jejantas.

Adi perhatikan banyak tempat di Kuala Lumpur ini sentiasa ada sahaja pelbagai jenis pembinaan melibatkan jalan-jalan utama. Seolah-olahnya pembinaan seperti ini tidak pernah berhenti.

Ada kala baharu sahaja jalan tertentu siap dibuat dengan elok, tidak lama kemudian ditebuk dan dipokah untuk dibina laluan bertingkat pula. Kelihatan seperti tidak ada perancangan teliti dalam pembinaan jalan ini.

KESESAKAN LALU LINTAS

Adi faham semua ini bertujuan menambah baik sistem lalu lintas. Tetapi perlu juga ada perancangan teliti bagi mengelakkan proses membuat jalan ini berterusan bagai tiada noktah. Bukan sahaja ia mendatangkan bahaya kepada pengguna tetapi menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Adi percaya kesemua pemandu bimbang apabila melalui jalan-jalan yang menjalani proses pembinaan tambahan ini. Bayangkan dengan kren bergentayangan di udara dan kepingan konkrit pada jejambat yang sedang dibina, ditambah dengan kesesakan, hati sentiasa dirundung risau.

Mereka pasti membayangkan apa akan jadi jika kren runtuh atau kepingan konkrit jatuh.

Kesannya tentu menakutkan kerana bahanbahan berat ini boleh meremukkan kenderaan dan siapa juga yang berada di dalamnya. Malah ia bukan sahaja melibatkan kereta tetapi juga penunggang motosikal.

“Berapa banyak pun nilai denda yang dikenakan tidak akan dapat menebus akibat daripada kejadian, seperti luka parah, apatah lagi jika menyebabkan nyawa melayang. 

Kebimbangan ini semua bukan bayangan khayalan. Tetapi ia adalah realiti yang wajar dijadikan iktibar kerana insiden kren dan kepingan konkrit jatuh memang berlaku.

Namun pengguna tiada banyak pilihan. Mereka terpaksa juga menggunakan laluan yang ada untuk pergi balik kerja atau urusan lain. Entah berapa puluh ribu, atau ratusan ribu yang melalui jalan-jalan seperti ini setiap hari.

Sementara kejadian seperti ini dianggap sebagai kemalangan, ia bukan bermakna langkah-langkah keselamatan harus diabaikan. Ia mesti berada pada tahap maksimum. Justeru adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terlibat dengan projek-projek pembinaan berusaha memastikan kejadian tidak diingini dapat dielakkan.

Pada masa sama, pihak berkuasa pula mesti mewajibkan peraturan keselamatan yang ketat di tempat pembinaan. Sebarang tidak kepatuhan mesti diambil tindakan keras, termasuk perintah berhenti kerja.

Aspek keselamatan

Ini menepati gesaan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, yang mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi berkaitan menyemak semula peraturan di tapak pembinaan dalam usaha memperketatkan aspek keselamatan melibatkan orang ramai.

Semakan semula itu termasuk membabitkan kadar denda dan hukuman lebih berat bagi mengelak kejadian sama berulang.

Adi menyokong saranan ini kerana dalam banyak hal aspek keselamatan ini sering tidak diambil berat. Apabila berlaku sesuatu kejadian buruk barulah riuh diperkatakan dan tindakan diambil. Namun setelah beberapa ketika, ia dilupakan sehinggalah berlaku pula kejadian lain.

Berapa banyak pun nilai denda yang dikenakan tidak akan dapat menebus akibat daripada kejadian, seperti luka parah, apatah lagi jika menyebabkan nyawa melayang. Namun ia sekurang-kurangnya dapat menjadi peringatan kepada para kontraktor pembinaan agar sentiasa berwaspada mematuhi garis penguatkuasaan yang ditetapkan.

Jangan jadikan denda sebagai ‘lesen’ tidak menitik beratkan keselamatan kerana mampu membayar denda. Jika insiden tidak diingini berterusan, tindakan drastik perlu diambil terhadap kontraktor. Hentikan kerja-kerja pembinaan sehingga mereka dapat meyakinkan aspek keselamatan dipatuhi.

Sementara kita mahukan perkhidmatan lalu lintas lebih baik dan lancar, keselamatan orang ramai jangan sekali-kali diabaikan. Sesuatu projek wajar disiapkan segera menurut jangka waktu ditetapkan bagi mengurangkan risiko kepada orang ramai. Selalulah beringat sebelum kena.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas