Berita

Kuala Lumpur tetap di hati – Nor Hisham

|||
- Diterbit 4 Oktober 2020 5:21 AM MYT

KUALA LUMPUR terus tersemat dalam hati Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan meskipun baru bersara daripada jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Malah, figura berusia 64 tahun itu terus meletakkan harapan agar Kuala Lumpur menjadi bandar raya bertaraf dunia, satu hari nanti.

“Saya ingin melihat sebuah bandar yang ‘bersemangat’ dengan pembangunan, peluang dan jurang perniagaan sehingga semua orang dapat merasakan kepemilikan bandar itu sendiri.

“Pembangunan tidak seharusnya hanya untuk Pavilion. Ia juga harus untuk peniaga-peniaga kecil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini sebelum bersara pada 30 Sept lepas.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mengumumkan bekas Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mahadi Che Ngah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu, bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Okt lepas.

Pada masa sama, Nor Hisham yang juga bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) terus menanam impian untuk melihat ibu negara menjadi sebuah bandar yang berpusatkan rakyat.

“Inilah sebabnya kenapa kami melibatkan orang ramai untuk mengambil bahagian dalam Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040.

“Saya mahu orang ramai rasa selamat, aman dan bebas apabila berjalan di ibu kota seiring dengan kemajuan dan perkembangan teknologi serta pembangunan yang diterima,” katanya.

Lebih menarik, ketika menggalas jawatan itu, Nor Hisham turut berkesempatan berkhidmat di bawah dua menteri iaitu Khalid Abdul Samad dan Annuar di bawah kerajaan berbeza selain membantu melawan pandemik COVID-19 yang dihadapi negara.

Beliau berkata penjawat awam perlu mengamalkan sikap berkecuali dalam memainkan peranan sebagai penasihat kepada pembuat keputusan.

“Kami seperti tiang bendera di Dataran Merdeka. Kami berdiri tegak dan perlu menjalankan tugas. Apa-apa, kita ikut kerajaan hari ini yang memerintah dan soal politik seharusnya ditolak ke tepi.

“COVID-19 sebenarnya memberi pengajaran bukan sahaja kepada saya tetapi semua, yang menyebabkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan perlu diubah seperti kes warga asing dan gelandangan mengikut keadaan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham yang berpengalaman hampir 40 tahun dalam pelbagai agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri yakin rancangan menaik taraf ibu kota akan diteruskan di bawah kepimpinan penggantinya, Mahadi.

“Saya tidak mahu dikenang. Apa yang saya mahukan adalah agar setiap kerja dapat diselesaikan dan akan ada kesinambungan serta peningkatan untuk apa yang telah dilakukan untuk Kuala Lumpur.

“Saya telah melakukan yang terbaik untuk DBKL. Jadi selepas ini Datuk Bandar baharu yang akan sambung,” akhirinya.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas