Berita

KPWKM santuni keluarga kanak-kanak dibunuh di Bau, Sarawak

- Diterbit 6 Januari 2023 8:58 AM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menyantuni keluarga kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang dipukul dan dibunuh di Bau, Sarawak baru-baru ini, selaras dengan Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pemeliharaan dan pelindungan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya memandang serius kes pembunuhan tersebut.

“Saya dimaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan kes itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun didakwa dipukul sehingga mati dengan mayatnya disumbat dalam guni dan dibuang ke dalam semak, disyaki dilakukan teman lelaki kepada ibu kanak-kanak tersebut.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata lelaki itu serta ibu mangsa telah ditahan, dan kes diklasifikasi sebagai kes bunuh untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nancy dalam pada itu mengingatkan orang ramai yang mengetahui mengenai kes penderaan supaya menghubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp ke 019-2615999 atau terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang terdekat bagi mendapatkan bantuan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas