Berita

KPM sedia garis panduan sesi pengajaran, pembelajaran murid

KAHOOT antara program pembelajaran yang boleh digunakan sepanjang tempoh PKP.
- Diterbit 27 Mac 2020 5:21 AM MYT

PUTRAJAYA – Bagi memastikan murid tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan yang selamat, Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, garis panduan itu memperincikan peranan dan tanggungjawab pentadbir, guru, ibu bapa dan murid dalam memastikan penyampaian PdP berkesan.

“KPM menyedari bahawa wujud perbezaan dari segi akses kepada teknologi komunikasi dalam kalangan guru, ibu bapa dan murid. Sehubungan itu, guru boleh menggunakan pelbagai pelantar dalam talian serta media sosial yang bersesuaian untuk merancang dan memberi tugasan atau kerja rumah.

“Selain itu, bagi mengambil kira murid dengan akses internet yang terhad, guru boleh meminta murid melaksanakan aktiviti pembelajaran menggunakan buku teks, buku kerja, buku ulang kaji dan buku aktiviti tanpa keluar dari rumah sekali gus memastikan tiada murid yang ketinggalan dalam pembelajaran,” katanya.

Dalam pada itu KPM turut menyatakan, guru juga boleh merujuk kepada pelantar pembelajaran yang disediakan kementerian, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah atau pelantar pembelajaran lain yang bersesuaian.

Tambahnya, pelantar pembelajaran yang disediakan KPM ialah MOE-DL dan boleh diakses melalui http://www.moe-dl.edu.my. Pelantar ini menyediakan pautan kepada Google Classroom dan Microsoft Teams untuk tujuan PdP, buku teks digital, video PdP (EduwebTV/CikgooTube).

“Pautan aplikasi yang membantu PdP adalah seperti Edpuzzle (aplikasi pengajaran menggunakan video secara interaktif), Quizizz (kuiz berbentuk permainan) dan Kahoot (pembelajaran berasaskan permainan).

“Di samping itu, ibu bapa boleh mengakses EduwebTV (koleksi video) dan CikgooTube (perkongsian koleksi video daya usaha kreativiti guru) bagi membantu pembelajaran anak di rumah melalui http://eduwebtv.moe.edu.my dan http://bit.ly/cikgootube.

“Guru diberi fleksibiliti dari segi masa PdP, kaedah membimbing murid, menyemak dan memeriksa latihan atau tugasan kerja rumah murid. Penghantaran dan pengambilan bahan cetak yang melibatkan pergerakan dalam tempoh PKP adalah dilarang sama sekali,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas