Berita

Tabung Covid-19: CUEPACS sumbang RM20,000

- Diterbit 27 Mac 2020 4:59 AM MYT

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyumbang RM20,000 kepada Tabung Covid-19 yang akan digunakan kerajaan bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan wabak Covid-19.

Presidennya, Adnan Mat berkata, sumbangan itu adalah daripada kesatuan gabungan CUEPACS sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada rakyat serta rakan penjawat awam yang bertugas di barisan hadapan.

“Adalah disyorkan sumbangan penjawat awam ke Tabung Prihatin Convid-19 dibuat melalui pembayaran gaji secara sukarela iaitu melalui gaji bulan April dan Mei tahun ini dengan nilai RM10 untuk kumpulan Pelaksana 1 dan 2 manakala RM20 bagi kumpulan pengurusan dan profesional (P&P) dan keatas.

“CUEPACS berbesar hati memohon persetujuan Ketua Setiausaha Negara agar cadangan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh meliputi anggota perkhidmatan Persekutuan, negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Ia bukanlah paksaan tetapi lebih kepada solidariti serta membantu rakan yang sedang memberikan perkhidmatan di barisan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, ia juga sebagai tanda bahawa penjawat awam sentiasa bersama dalam memberi khidmat kepada rakyat dan negara.

Pada 11 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan inisiatif kerajaan untuk melancarkan Tabung Covid-19 dalam membantu rakyat yang tidak bekerja dan terjejas , dalam bentuk kewangan.

Ia akan dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sumbangan boleh disalurkan kepada akaun 16010001138714 (Bank Muamalat – Tabung Bantuan Bencana Negara). – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas