Berita

KPM keluar Surat Pekeliling Ikhtisas sebagai garis panduan elak penyalahgunaan media sosial

- Diterbit 21 Mac 2024 2:04 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 11 Tahun 2023 Garis Panduan Nilai Etika Penggunaan Media Sosial bagi Guru dan Murid sebagai garis panduan kepada guru dan murid untuk mengelakkan penyalahgunaan media sosial.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong kah Woh berkata pihak KPM sentiasa mengambil langkah proaktktif bagi memastikan murid mengamalkan etika yang betul melalui penerapan nilai integriti dan boleh diamalkan bukan sahaja di sekolah malah semasa menggunakan media sosial seperti Tiktok, Instagram dan Facebook.

“Penerapan teknologi dan aplikasi serta pengunaan media sosial sudah terbuka luas kepada semua pihak termasuk murid. Sejajar dengan hasrat KPM ke arah pendidikan digital, perkara ini adalah perlu untuk murid bergerak ke hadapan sejajar dengan keperluan pendidikan masa kini.

“Bagi memenuhi keperluan dan kecenderungan murid untuk menguasai kemahiran dalam teknologi komunikasi, didikan dan panduan di usia muda adalah amat perlu bagi mengelakkan murid menjurus ke arah penggunaan teknologi dan aplikasi serta pengunaan media sosial secara negatif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta KPM menyatakan tindakan untuk melegakan kebimbangan umum berikutan semakin ramai murid terjebak menonton media sosial berbanding tumpu kepada pelajaran.

Tambah beliau, KPM juga melaksanakan pelbagai program dan aktiviti yang sihat seperti sukan dan kokurikulum serta program pengukuhan jati diri untuk membina karakter dan peribadi individu yang lebih unggul serta boleh membuat keputusan dengan lebih kritikal.

“Ini secara tidak langsung akan melahirkan murid yang lebih bertanggungjawab dalam menggunakan teknologi dan media sosial.

“Media sosial merupakan medium yang amat berkuasa sekiranya dimanfaatkan sebaiknya seperti melatih kemahiran bertutur, mendengar dan menulis; sebagai medium komunikasi untuk murid; dan pembinaan kemahiran sosial,” ujarnya.

Jelas beliau, Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) di sekolah juga melaksanakan Program Kaunseling Berfokus bertujuan mengesan tingkah laku berisiko seperti ketagihan media sosial seperti Tiktok.

“GBK turut menjalankan intervensi antara agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi Media Malaysia, Lembaga Perancangan Penduduk dan Keluarga Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan CyberSecurity,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas