Artikel

KPKT, PLANMalaysia sedia garis panduan demi kesejahteraan bandar

MENTERI KPKT, Nga Kor Ming (tengah) yakin GPP PSB menjadi satu rujukan utama untuk memudahkan proses pembaharuan semula bandar.
- Diterbit 15 September 2023 9:13 AM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (GPP PSB) yang telah pun diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Ogos 2023.

Ia bertujuan untuk memberi panduan dan rujukan kepada Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju hartanah dan pihak berkepentingan lain yang ingin memajukan atau membangunkan semula kawasan penempatan yang terpinggir, usang dan tidak lagi ekonomik untuk meningkatkan imej dan reka bentuk bandar serta kualiti hidup masyarakat bandar.

Terdapat enam isu dan senario perbandaran di mana pembaharuan semula bandar boleh dilaksanakan seperti kawasan yang melibatkan:

* bangunan-bangunan usang

* projek pembangunan terbengkalai (brownfield)

* kawasan tidak berdaya maju (greyfield)

* kawasan yang mengalami penurunan nilai hartanah

* kawasan yang menghadapi masalah sosial

* kawasan yang mengalami kemerosotan infrastruktur dan kemudahan

Dokumen ini menggariskan panduan pelaksanaan dari segi penyelarasan terminologi berkaitan pembaharuan semula bandar, proses yang terlibat berdasarkan jenis pemilikan tanah, insentif-insentif yang boleh ditawarkan kepada pemaju, tata kelola di peringkat persekutuan dan negeri serta pertimbangan dalam menguruskan projek pembaharuan semula bandar.

Ia menyentuh empat jenis pembaharuan semula bandar seperti, Pembangunan Semula Bandar (Urban Redevelopment); Penjanaan Semula Bandar (Urban Regeneration); Penyegaran Semula Bandar (Urban Revitalisation) dan Pemuliharaan Bandar (Urban Conservation).

Penggubalan GPP PSB ini telah melalui 19 sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Jabatan Perumahan Negara, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Jabatan Wilayah Persekutuan serta telah dibawa untuk persetujuan dan pemakluman negeri-negeri melalui semua PLANMalaysia negeri.

Bagi tujuan pelaksanaan pula, dokumen ini boleh disesuaikan (adopt and adapt) mengikut kegunaan di negeri dan PBT.

KPKT yakin GPP PSB ini dapat menjadi satu rujukan utama untuk memudahkan proses pembaharuan semula bandar dan merancakkan lagi pembangunan bandar di seluruh negara.

Dalam masa yang sama, KPKT akan terus komited memastikan ia diterimapakai dan menambahbaik aspek-aspek lain dari semasa ke semasa agar agenda pembaharuan semula bandar dapat dilaksanakan dengan komprehensif demi kepentingan rakyat dalam mencapai hasrat bandar yang mampan dan berdaya huni.

#StrongerTogether #DemiPertiwi #UnityInDiversity

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas