Utama

Operasi mencari seorang lagi mangsa terperangkap giat dilakukan

STRUKTUR binaan Kondominium yang runtuh kira-kira pukul 3.30 petang tadi di Taman Desa Klang Lama.
- Diterbit 14 Februari 2020 1:02 PM MYT

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur sedang giat melakukan usaha mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan kondominium dalam pembinaan di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini.

NORDIN memberikan perkembangan terkini tragedi bangunan runtuh.

Pengarahnya, Nordin Pauzi berkata, mangsa terbabit dipercayai masih hidup kerana berada di antara tempat runtuhan dan ruang selamat berikutan runtuhan berlaku dari aras 6 ke aras 1.

“Kita sahkan hanya ada seorang lagi mangsa yang terperangkap dan pihak pembinaan juga menyatakan seorang sahaja pekerja lelaki yang hilang. Setakat ini, mangsa hidup kerana itu kita bertungkus lumus untuk selamatkannya.

“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan dan dihantar mendapatkan rawatan di hospital petang tadi,” katanya dalam sidang akhbar selepas melihat kawasan runtuhan.

Mengulas tentang punca kejadian, ujar Nordin, perkara tersebut belum dapat dipastikan.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan, kerjasama dilakukan dengan Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi menilai keadaan semasa bangunan.

Malah katanya, pergerakan pasukan menyelamat juga dihadkan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Kira-kira pukul 3.30 petang tadi, sebuah kondominium yang masih dalam pembinaan runtuh dari tingkat 6 hingga 1 dan menyebabkan empat pekerja terperangkap. – WILAYAHKU

KEADAAN struktur kondominium yang dalam pembinaan di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas