Artikel

Kontroversi dedah rakaman audio

LATHEEFA ketika sidang akhbar di Ibu PejabatSPRM, Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 16 Januari 2020 11:50 AM MYT

Pendedahan beberapa klip audio berkaitan 1MDB oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya baru-baru ini telah menjadi perhatian ramai.

Tindakan itu telah mengundang perbahasan dalam kalangan orang ramai. Ada yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut termasuklah Majlis Peguam dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Ram Karpal Singh.

Alasan pihak yang tidak bersetuju adalah kerana ia mengganggu kes yang sedang berlangsung terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak. Mereka juga berpendapat adalah lebih baik hal tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, ada pihak yang bersetuju dengan tindakan tersebut memandangkan tiada apa-apa undang-undang yang dilanggar. Apa yang menjadi kontroversi adalah hanya kerana tindakan Latheefa tersebut tidak pernah dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM yang terdahulu.

Bagaimanakah kedudukan undang-undang yang sebenarnya ke atas pendedahan tersebut. Adakah ia bercanggah dengan mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa. Jika ia bercanggah dengan undang-undang maka apakah Latheefa boleh dikenakan apa-apa tindakan termasuklah pendakwaan di mahkamah?

Pertamanya, Latheefa mendakwa audio tersebut bukanlah berasal daripada SPRM. Ia diterima daripada sumber yang tidak dimaklumkan.

Seterusnya Latheefa telah mengambil langkah-langkah untuk membuat pengesahan awal bahawa audio tersebut adalah sahih dan bukannya direka-reka.

Kuasa SPRM untuk menerima apa-apa aduan dan menyiasat lanjut adalah terkandung di bawah Bahagian V, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 Malaysia.

Oleh itu, tidaklah menjadi satu kesalahan bagi SPRM untuk menggunakan sumber mereka bagi membuat pengesahan awal.

Latheefa kemudiannya menyatakan bahawa hasil daripada pengesahan awal itu, beliau mendapati wujud unsur-unsur jenayah di bawah Akta Rahsia Rasmi, salah guna kuasa, mengganggu pentadbiran keadilan dan korupsi. Latheefa juga menyatakan pendedahan tersebut dibuat lantaran ia berkaitan dengan kepentingan awam.

Hal itu telah dijelaskan oleh Latheefa sendiri dalam sidang media itu. Tindakan itu adalah untuk mendedahkan bahawa berlaku salah guna kuasa pihak tertinggi.

Dalam audio tersebut, adalah jelas bahawa beberapa pihak yang terlibat iaitu Perdana Menteri, Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Negara ketika itu.

Perbincangan yang dibuat pula adalah untuk menutup kes melibatkan 1MDB yang selama ini cuba disembunyikan daripada orang ramai.

Bagaimanakah seorang pendakwa raya boleh berpakat dengan seorang yang menjadi subjek siasatan maklumat yang berada dalam fail siasatan dan mencadangkan beberapa cara bagi mengelakkan pendakwaan berlaku. Pendedahan itu hanya sekadar satu pengesahan (confirmation) terhadap perasaan ragu-ragu orang ramai selama ini bahawa berlaku penyembunyian fakta berkaitan salah laku 1MDB.

Seterusnya, apa yang menjadi polemik adalah apakah SPRM boleh membuat pendedahan sedangkan kes masih belum disiasat? Apakah tindakan SPRM itu adalah subjudis terhadap perbicaraan yang sedang berlangsung atau kemungkinan ia adalah satu penghinaan kepada proses mahkamah (contempt of court).

Tiada subjudis

Subjudis adalah keadaan di mana pendedahan itu akan mempengaruhi minda seorang hakim. Di Malaysia, hakim tidak mungkin akan terpengaruh dengan pendedahan sebegitu kerana pada asasnya hakim tidak akan mengambil kira apa-apa keterangan yang dibuat di luar bilik mahkamah.

Justeru pendedahan SPRM ini tidaklah mendatangkan apa-apa subjudis kepada kes yang sedang berlangsung di mahkamah kerana bukti-bukti ini belum pernah dikemukakan di mahkamah. Sedangkan pertuduhan terhadap orang yang kena tuduh itu telah dibuat berdasarkan bukti-bukti yang telah sedia ada.

Sepatutnya pendedahan ini tidak memberikan apa-apa impak kepada kes yang sedang berlangsung. Bagaimanapun, kemungkinannya adalah audio tersebut akan memberikan peluang kepada tertuduh untuk menggunakan kandungannya sebagai pembelaan terhadap pertuduhan yang sedang dibicarakan.

Dalam pada itu, penghinaan kepada mahkamah pula akan berlaku apabila seseorang itu mengganggu proses perbicaraan seperti menganggu saksi atau menyembunyikan maklumat yang sepatutnya diketahui oleh mahkamah. Pendedahan ini juga tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan proses perbicaraan yang sedang berjalan. Maka tiada sebarang bentuk penghinaan kepada mahkamah.

Tambahan lagi, Latheefa menyatakan bahawa beliau hanya menerima audio ini selepas tahun baru 2020.

“Apa yang menjadi kontroversi adalah hanya kerana tindakan Latheefa
tersebut tidak pernah dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM yang
terdahulu.

Justeru tindakan beliau membuat pendedahan itu adalah tidak bertentangan dengan undang-undang sedia ada. Mendedahkan aduan atau maklumat seperti itu tidak mengganggu apa-apa siasatan atau kes mahkamah sedia ada. Jelas sekali, respon negatif yang diterima adalah hanya reaksi awal daripada pihak yang terkejut dengan tindakan pendedahan yang tiada duluan (unprecedented move) seperti yang dibuat oleh Latheefa.

Selain itu, timbul juga keraguan masyarakat terhadap kemungkinan berlaku perlanggaran hak asasi manusia bersabit dengan hak privasi (right to privacy) yang mana antara kandungan audio tersebut adalah berhubung dengan perbualan antara seorang suami dan isteri. Apakah pihak-pihak berkenaan mempunyai kuasa untuk memintas perbualan telefon seseorang.

Seksyen 252 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membenarkan seseorang pendakwa raya memberikan kebenaran kepada mana-mana penguasa polis atau yang berpangkat lebih tinggi untuk memintas komunikasi mana-mana orang terhadap sesuatu siasatan di bawah akta tersebut.

Walau apapun, undang-undang di Malaysia tidak begitu ketat berkaitan dengan penerimaan apa-apa bukti yang diterima melalui cara yang tidak sah. Ini bermakna bukti yang diperolehi dengan cara tidak sah pun boleh diterima oleh mahkamah.

Kesimpulannya, pendedahan oleh Latheefa ini adalah sesuatu yang tidak betah berlaku sebelum ini dan ini telah mencetuskan kontroversi ramai.

Namun tindakan mendedahkan audio itu adalah tidak mempunyai implikasi negatif kepada kedaulatan undang-undang. Malah pendedahan tersebut boleh memberikan impak positif kepada institusi pentadbiran keadilan di Malaysia yang sebelum ini dicurigai ramai.

Dengan pendedahan ini pastinya akan membuatkan pihak PDRM perlu menyiasat dengan lebih lanjut. Jika kemudiannya wujud apa-apa kesalahan diharapkan Peguam Negara akan segera menuduh pihak terbabit di mahkamah.

Dr. Zulqarnain Lukman merupakan peguambela, peguamcara dan peguam syarie

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas