Artikel

Berlapang dada dengan perbezaan

FAHMI-RAMAH
AHLI Parlimen, Fahmi Fadzil beramah mesra dengan komuniti Cina. - Gambar hiasan
- Diterbit 16 Januari 2020 12:27 PM MYT

“Garis sempadan antara pegangan agama dan amalan budaya harus  difahami supaya tidak timbul salah faham.

Landskap demografi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama menjadikan negara ini unik. Malah, keupayaan mengekalkan keharmonian sejak pembentukan sebuah negara selepas merdeka lebih 60 tahun lalu turut menjadi satu kelebihan.

Sedangkan ada negara yang telah merdeka lebih awal daripada Malaysia kini sedang berada dalam kancah peperangan.

Elemen berbezaan agama, etnik malah fahaman mazhab sering dijadikan pencetus untuk menimbulkan jurang perbezaan pandangan hingga akhirnya mengheret kepada perbalahan.

Perkara yang boleh dibawa berbincang mengapa harus menjadi justifikasi untuk menegangkan suasana? Dalam keadaan tertentu sikap berlapang dada dengan perbezaan merupakan jalan yang harmoni.

Sejak sekian lama rakyat Malaysia sebenarnya sudah dapat memahami bahawa masing-masing menghormati amalan agama setiap kaum.

Setiap perayaan yang ada di negara ini dibenarkan bebas untuk diamalkan malah diraikan dengan meriah. Setiap rakyat berkongsi kemeriahan itu.

Ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, masyarakat bukan Islam dapat berkongsi juadah masakan Melayu manakala ketika Tahun Baru Cina, rakan-rakan Melayu berpeluang merasa buah mandarin. Ketika perayaan Deepavali pula kita dapat bersama-sama mengunyah maruku.

Garis sempadan antara pegangan agama dan amalan budaya harus difahami supaya tidak timbul salah faham. Salah faham timbul apabila sesuatu perkara yang merupakan budaya dianggap mempunyai unsur agama.

Seperti surat garis panduan dikeluarkan Kementerian Pendidikan berkaitan penyertaan masyarakat Islam dalam perayaan Ponggal tidak wajar dijadikan isu.

Surat itu merupakan satu garis panduan kepada guru dan pelajar di sekolah-sekolah seperti ditetapkan pihak Jakim.

Ia tidak menghalang untuk perayaan itu disambut dan kalau orang Islam dijemput meraikannya tidak menjadi satu kesalahan dengan syarat tidak melibatkan ritual keagamaan.

Dalam hal ini, sebarang pandangan yang ekstrem sewajarnya dikekang dan dielakkan. Masyarakat tidak wajar memberi ruang golongan yang terlalu rigid dan keras untuk menguasai ruang pandangan khalayak ramai.

Malah ada juga yang cenderung untuk memanipulasi apa saja perkara untuk membuka ruang pertelagahan. Pendekatannya mudah. Seperti ungkapan dalam al-Quran menyatakan apabila berbicara golongan yang jahil, maka katakan kepada mereka perkataan ‘salam’. Salam ertinya selamat atau aman.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas