Artikel

Integrasikan kurikulum pendidikan sivik

Gambar hiasan.
- Diterbit 20 September 2019 2:11 AM MYT

Perbincangan terkini dalam pendidikan Malaysia adalah mengintegrasikan bahan pelajaran pendidikan sivik yang perlu diterima oleh semua.

Pendidikan sivik sedang dilaksanakan di sekolah secara bersepadu dan holistik yang merangkumi aspek literasi dan amalan praktikal.

Arahannya adalah untuk guru mengintegrasikan ‘aspek sivik’ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah dan diterapkan semasa aktiviti perhimpunan dan kokurikulum.

Pendidikan sivik dijenamakan semula untuk mengajar dan membolehkan masyarakat Malaysia untuk mengetahui hak, tanggungjawab dan nilai moral mereka agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Pemahaman yang bijaksana mengenai kewarganegaraan dan kehidupan sivik adalah salah satu matlamat yang kita harus dedahkan kepada semua pelajar ketika mereka bergerak ke pendidikan tinggi dan tempat kerja.

Namun begitu, ia tidak begitu mudah untuk diajar. Bagi setiap guru lama atau baharu, adalah penting untuk membuat ranca­ngan konkrit bagi membina se­suatu kurikulum atau ‘rancangan pelajaran harian’ yang memberi tumpuan kepada peningkatan kebolehan pelajar dan pembangunan institusi secara keseluruhan.

Pemetaan kurikulum adalah proses reflektif yang membantu guru memahami apa yang telah diajar dalam kelas, bagaimana ia telah diajar, dan bagaimana hasil pembelajaran ditaksirkan.

Proses pemetaan kurikulum akan menghasilkan dokumen yang dikenali sebagai peta kurikulum yang merupakan ilustrasi grafik yang terdiri daripada jadual atau matriks.

Setiap daripada guru terpaksa menghadapi cabaran yang sama untuk menyelesaikan kandungan kursus dengan cara yang paling berkesan dan menarik sepanjang pengajaran dan pembelajaran.

Ia mungkin rumit pada mulanya, tetapi perancangan yang betul dan usaha berdedikasi dapat membantu dalam mencapai tujuan dengan mudah.

Kurikulum

Pemetaan kurikulum dapat mempermudah prosedur untuk guru dan membantu mereka dalam menetapkan harapan yang realistik untuk para pelajar dan mempermudah prosedur pengajaran selama jangka waktu tertentu.

Sebelum memulakan sesi kelas, pendidik perlu mempertimbangkan beberapa perkara.

Para pendidik perlu mempunyai idea yang jelas tentang harapan mereka sendiri, tanpa mereka tidak dapat membangunkan kurikulum yang bersesuaian dengan perkembangannya.

Mengumpul maklumat terdahulu tentang pelajar, gaya belajar mereka, corak tingkah laku, dan sebagainya, boleh membantu dalam membangunkan gambaran yang jelas dan langkah-langkah berkesan untuk berinteraksi dengan mereka.

Pendidik harus sentiasa menjaga kelenturan kurikulum. Kadang-kadang mereka mung­kin menghadapi kesukaran dalam menyediakan rancangan pelajaran dan menyedari bahawa banyak masa telah dihabiskan dalam penyediaan perancangan pelajaran.

Mereka harus selalu menerima fleksibiliti dan berubah dengan tangan terbuka. Guru harus bersedia menukar dan menggantikan rancangan pelajaran yang tidak berfungsi.

Jika pelajar tidak memahami topik tertentu, mereka harus mendekati dengan cara yang berbeza, sambil menjadikannya bermakna dan menarik.

Untuk guru baharu yang melangkah ke profesion alam pendidikan ia mungkin menjadi ‘kasut yang lebih besar untuk diisi’.

Kadangkala, mereka mungkin meragui diri dan mempersoalkan kebolehan mereka. Bagaimanapun, dedikasi berterusan terhadap kebolehan dan keupayaan mereka dan memberi tumpuan kepada mendidik pelajar untuk mendapatkan hasil yang lebih baik dapat menghasilkan hasil yang lebih bermakna.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas