Berita

Kluster Sivagangga berkemungkinan ‘super-spreader’

MALAYSIA turut dipilih WHO untuk bersama-sama kaji selidik uji ubat merawat Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 6 Ogos 2020 12:30 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang mengkaji sama ada kluster Sivagangga di Kedah merupakan kluster ‘super-spreader’ iaitu berupaya menjangkiti ramai orang.

Ini kerana kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ia berikutan kluster Sivangangga merebak dengan cepat berbanding kluster di Sarawak dan sebagainya.

“KKM kena laksana ujian dengan teliti dan akan kulturkan virus tersebut di makmal serta melihat kepada susunan genomik.

“Pada masa ini, KKM berjaya mengawal peningkatan mendadak kes Covid-19 daripada kluster tersebut,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Mengulas mengenai jangkitan yang berlaku di Australia, Dr Noor Hisham berkata, Covid-19 merebak di Victoria kerana seorang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) di pusat kuarantin dan menjangkiti seluruh komuniti serta satu negeri.

“Petang tadi saya mengadakan telesidang dengan rakan sejawat saya di Melbourne. Saya dimaklumkan kes jangkitan tertumpu kepada seorang individu yang balik dan membawa jangkitan kepada semua orang,” katanya sambil menambah keadaan itu seperti dalam kluster Sivagangga.

“Seorang individu yang balik dan membawa jangkitan tetapi tidak mematuhi SOP akan menyebabkan orang lain dijangkiti,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatan KKM dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah nanti, Dr Noor Hisham berkata, SOP yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan digunakan di PRK DUN Slim dan bakal dijadikan penanda aras.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain bagi menambahbaik SOP yang akan disyorkan pada PRN Sabah, kelak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas