Berita

Kakitangan awam, swasta ulang alik dari Sabah jalani saringan kesihatan.

FARY menunjukkan syarat-syarat wajib yang perlu dipenuhi syarikat yang dibenarkan beroperasi.
- Diterbit 4 Mei 2020 5:54 AM MYT

LABUAN – Kakitangan awam dan swasta di Labuan yang berulang-alik dari Sabah ke pulau ini setiap hari akan menjalani pemeriksaan saringan kesihatan di Terminal Feri Labuan bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, individu yang menunjukkan gejala diminta menjalani saringan kesihatan dan dikuarantin sepenuhnya.

“Mereka (kakitangan) akan diberikan kad hijau oleh pegawai Jabatan Kesihatan ketika tiba di pintu masuk terminal untuk tujuan pemeriksaan kesihatan setiap hari dapat direkodkan.

“Tambahan pula, perkhidmatan bot laju masih ditangguh sehingga 12 Mei ini dan mereka harus menggunakan perkhidmatan feri roro untuk ke Labuan,” katanya.

Fary berkata, semua aktiviti pemborongan dan peruncitan diminta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Antara faktor pembukaan semula aktiviti perniagaan dan ekonomi tersebut adalah demi memulihkan ekonomi. Malah, ia termasuk meningkatkan daya saing dan meyakinkan pelabur,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas