Berita

KLFA perlu nafas baharu

PASUKAN bola sepak Kuala Lumpur.
- Diterbit 6 Disember 2019 11:37 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dana kewangan yang kukuh amat diperlukan bagi memastikan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mampu bersaing dengan kelab ternama lain yang ada di negara ini.

Menurut Naib Presiden KLFA, Datuk Astaman Abd. Aziz, kekangan kewangan sebelum ini antara punca yang menyebabkan persatuan tidak mampu untuk memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak.

ASTAMAN

“Hampir keseluruhan kewangan digunakan untuk menampung pasukan yang beradu dalam kejohanan liga dan sebagainya jadi bakinya tidak cukup untuk disalurkan kepada bahagian lain.

“Pun begitu, dengan pucuk pimpinan presiden terkini, Khalid Abd. Samad, saya yakin beliau mampu membawa dana bukan sahaja daripada kerajaan bahkan daripada pihak swasta,” ujarnya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Jelas beliau, Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan sememangnya merupakan individu yang tepat untuk membawa KLFA memacu kejayaan.

“Apabila masalah kewangan ini tidak lagi membelengu persatuan, maka kita boleh bergerak ke hadapan dan memberi tumpuan kepada pembangunan bola dari peringkat sekolah lagi.

“Bukan sahaja dari segi pembangunan bahkan merangkumi infrastruktur seperti padang bola dan sebagainya,” ujarnya yang turut berharap kombinasi barisan ahli baharu dan lama ini lebih hebat lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas